Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
170,000 desak Johnny Depp dikembalikan ke Fantastic Beast

Petisyen atas talian bagi mendesak pelakon Johnny Depp dikembalikan semula dalam filem Fantastic Beast 3 berjaya mengumpulkan kira-kira 170,000 tanda tangan peminat.

Petisyen dimulakan peminat bernama Andriana Pavlidou melalui Change.org itu turut mengugut Warner Bros (WB) menarik semula keputusan mereka jika tidak mahu filem berkenaan diboikot.

“Johnny Depp diminta mengundurkan diri oleh WB dan melepaskan peranannya sebagai Grindelwald dalam Fantastic Beast 3. Hal ini susulan keputusan kes aktor tersebut dengan The Sun yang dianggap tidak adil.

“Kami mahukan dia semula. WB harus mendengar rintihan umum atau kami boikot filem tersebut,” menurut petisyen berkenaan.

Petisyen digerakkan selepas Depp mendedahkan dia dipecat daripada siri spin-off Harry Potter oleh studio Warner Bros. (WB) itu melalui Instagram pada 6 Nov lalu.

Depp, 57, berkata dia “menghormati dan bersetuju dengan permintaan tersebut.”

Keputusan diambil WB susulan pelakon Pirates of the Caribbean itu kalah perbicaraan kes saman fitnah terhadap tabloid terbabit yang menggelar Depp sebagai “pemukul isteri.”

Depp, menyaman News Group Newspapers, penerbit The Sun, dan pengarang eksekutif Dan Wootton, berhubung sebuah artikel yang diterbitkan April 2018.

Ia berikutan tuduhan siri keganasan rumah tangga yang dibuat terhadap pelakon itu oleh bekas isterinya yang juga pelakon, Amber Heard.

Untuk rekod, Depp akan menerima bayaran penuh sekurang-kurangnya RM41 juta daripada Warner Bros, meskipun dia hanya terbabit satu babak saja dalam penggambaran Fantastic Beasts 3 selepas digugurkan dari filem itu.

WB juga dikatakan kini sedang berunding dengan pelakon Doctor Strange, Mads Mikkelsen untuk menjadi pengganti Depp.

Fantastic Beast 3 sedang menjalani penggambaran di London dan dijadual ditayang serentak seluruh dunia pada 2022.

Peminat Depp turut menggerakkan petisyen dalam talian bagi mendesak Amber disingkirkan daripada filem Aquaman 2.

Pemula petisyen tersebut, Jeanne Larson berkata, disebabkan Amber dikenali dan terbukti melakukan penderaan domestik, Warner Brothers dan DC Entertainment wajar memecat wanita terbabit daripada projek Aquaman 2.

"Mereka tidak boleh mengabaikan penderitaan mangsa Amber dan tidak boleh mempopularkan pendera domestik.

Setakat laporan ini ditulis, petisyen yang dilancarkan pada Februari lalu itu sudah ditandatangani hampir 1,000,000 orang.

Lihat Komen
ADS