Filem ‘Hold Me Back’ arahan Akiko Ohku merangkul Anugerah Penonton pada majlis penutup Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) ke-33 yang berlangsung Isnin lepas.

Sepanjang 10 hari festival tersebut, 138 buah filem yang dipilih daripada 1,356 penyertaan daripada 107 buah negara dan wilayah telah ditayangkan bermula 31 Okt.

Pusat Asia Yayasan Jepun (JF) dan TIFF yang telah menjalin kerjasama masuk tahun ketujuh, menjadi penganjur bersama bagi siri perbualan ‘Asia Lounge’, yang diperkenalkan tahun ini.

‘Asia Lounge’ ialah inisiatif baharu hasil ilham pengarah terkenal dunia Hirokazu Kore-eda, yang bekerjasama dengan anggota bagi sebuah jawatankuasa kurator untuk menganjurkan acara tersebut.

Ia menampilkan perbincangan dalam talian harian antara pengarah-pengarah filem Asia terkemuka dan rakan pengarah mereka dari Jepun, yang membincangkan pelbagai topik.

Tetamunya termasuk Kim Bora (Korea Selatan), Huang Xi (Taiwan), Apichatpong Weerasethakul (Thailand), Mouly Surya (Indonesia), Tsai Ming-Liang (Malaysia/Taiwan) dan Rithy Panh (Kemboja).

Walaupun pada asalnya disusun sebagai satu ruang santai fizikal yang membolehkan pembikin filem dari seluruh dunia menikmati perbualan dan pertukaran idea yang bebas, ia terpaksa diubah kepada dalam talian pada tahun pertama ini susulan pandemik COVID-19.

JF dan TIFF juga mengetengahkan kepelbagaian budaya pawagam Asia dalam bahagian Tokyo Premiere 2020 dan World Focus.

Selain itu, sebagai sebahagian usaha Asia Tenggara JF membaik pulih filem, hasil karya pengarah filem Malaysia, Allahyarham Yasmin Ahmad, ‘Mukhsin’ (2006) telah dijadikan versi digital 4K dan dipertontonkan buat pertama kalinya.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://2020.tiff-jp.net/en/

- Bernama