Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mael Totey The Movie kutip RM6.4 juta dalam 24 hari

Seorang pengarah baru yang berasal daripada kampung dan mempunyai cita-cita besar berjaya membuktikan kemampuannya menerusi filem pertama, Mael Totey The Movie (MTTM) dengan kutipan RM6.4 juta dalam tempoh 24 hari.

Jumlah itu mendahului kutipan nombor 1 Astro First yang dahulunya didominasi filem Polis Evo pada tahun 2015 dan diikuti filem Hantu Kak Limah (2018).

Usaha pengarah muda, Syahmi Sazli itu turut menjadi perhatian apabila kos pembikinan MTTM yang menelan RM400,000 menggunakan kos sepenuhnya yang ditanggung sendiri.

Sambutan MTTM masih memberangsangkan meskipun telah memasuki minggu keempat tayangan di platform di pawagam rumah anda, Astro First.

Syahmi Sazli 

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan tersebut adalah satu sejarah dalam industri perfileman apabila sebuah filem dihasilkan seorang pengarah baru yang sebelumnya hanya aktif dengan kandungan digital.

“Tetapi kini kutipan filem pertamanya, MTTM telah berjaya menandingi filem-filem pecah panggung di Astro First.

“Pihak Astro Shaw akan terus berusaha menerusi rangka promosi yang kreatif untuk membawa filem ini ke tahap yang lebih jauh, di samping menarik lagi minat orang ramai di luar sana untuk menontonnya.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton MTTM kerana anda telah memberi kepercayaan dan sinar buat penerbit tempatan untuk terus berkarya. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang banyak memberi sokongan dalam menghebahkan tentang filem ini kepada penonton di Malaysia.”

Raja Jastina Raja Arshad 

Filem itu dibintangi Syahmi Sazli yang juga selebriti Youtube, Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff.

MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.

Konflik antara Mael, Teacher Siti dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Lihat Komen
ADS