Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bunga Isme 'guna' Ali Gatie sanjung petugas barisan depan

Baru-baru ini penyanyi yang juga rapper bertudung, Bunga Isme, berkongsi kegembiraan apabila berpeluang muncul melalui projek kolaborasi dengan artis terkenal antarabangsa, Ali Gatie, dalam Welcome Back.

Menggunakan kesempatan itu sepenuhnya, gadis berusia 20 tahun berkenaan memilih untuk mengubah dan mengabdikan sebahagian lirik lagu tersebut bagi menyanjung pengorbanan petugas barisan hadapan melalui lagu versi bahasa Melayu.

“Semua lirik dijadikan baru dan ditujukan khas buat petugas barisan depan kita seperti doktor, polis dan tentera yang berjuang mengekang Covid-19 sampai ada tak balik-balik rumah sebelum ni.

“Tak apa, demi kamu, kami sanggup tunggu walaupun lama,” katanya kepada Malaysiakini.

Lagu asal Welcome Back dinyanyikan Ali, 23, dengan Alessia Cara dilancarkan Sept lalu.

Kehadiran Bunga dalam versi campuran bahasa Melayu itu adalah hasil kolaborasi Ali bersama wakil Warner Music Malaysia.

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata, pada awalnya memang tiada kata-kata mampu diungkapkan apabila dia dimaklumkan akan digandingkan dengan Ali.

Lirik nyanyian semula Bunga direkodkan oleh penyanyi dan komposer Amzar Sabri, sebelum dihasilkan Rozhan Razman dari Playspace.

“Saya tak tau nak cakap apa. Tapi kemudian saya minta tunjuk ajar daripada Amzar agar dia dapat membimbing dan menjadikan saya bukan seperti Bunga dalam lagu tu,” kata penyanyi yang namanya pernah ditempatkan dalam liputan The New York Times dan sebuah video terbitan Bloomberg itu.

Untuk rekod, nama Ali, pernah meledak di negara ini dengan lagu berjudul It’s You dan Moonlight pada 2019.

It's You berjaya ditempatkan dalam US Billboard Hot 100 malah mendapat sambutan hangat seluruh dunia termasuk di AS, Australia, Kanada, Perancis dan Belgium.

Penyanyi berdarah campuran Iraq dan Kanada berasal dari Yaman itu turut mengundang perhatian peminat apabila mengumumkan memiliki nombor Malaysia di Twitter untuk dihubungi pada Mac lalu.

Mengulas perkara berkenaan, Bunga berkata, dia kagum dengan kesungguhan dan sikap Ali apabila meluangkan masa untuk melayan kerenah peminat.

“Saya suka lihat cara dia melayan peminat, tak semua artis boleh begitu. Saya sendiri tak menang tangan nak layan.

“Cuma satu saya khuatir, tindakan seperti tu boleh bertukar jadi memudaratkan sekiranya dia tak dapat balas mesej mereka, nanti ada yang kecewa kerana meletakkan harapan tinggi,” katanya.

Lihat Komen
ADS