Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad menziarahi anak kepada seniman agung Allahyarham P Ramlee, Sazali hari ini.
Memuat naik gambar pertemuan tersebut menerusi akaun Facebook, Zulkifli mengunjungi Sazali, 62 dan menyampaikan beberapa sumbangan.
"Semalam sempat singgah sebentar menyampaikan sumbangan kepada Encik Sazali P. Ramlee. Bagi yang masih teringat filem Ahmad Albab, inilah 'anak jin' yang bermain-main dengan Ahmad Albab di dalam gua.
"Kami sempat berbual-bual tentang kisah silam seniman agung P. Ramlee yang dia panggil sebagai daddy.
"Walaupun kini bertongkat dek pernah terlibat dalam kemalangan, dia nampaknya begitu ceria menyambut kami," katanya melalui media sosial hari ini.
Pada masa sama, Zulkifli turut mendoakan kesejahteraan Sazali dan isterinya.
"Saya dimaklumkan dia mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Saya doakan semoga Encik Sazali terus berbahagia bersama isteri.
"Sebelum melangkah, seakan terngiang-ngiang lagu Anakku Sazali. Sama-sama kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah kepada Allahyarham Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh @ P. Ramlee," katanya lagi.

Untuk rekod, Sazali sebelum ini pernah berkerja dengan Alam Flora tetapi berhenti kira-kira 13 tahun lalu selepas syarikat terbabit berpindah operasi ke Putrajaya. Sazali tidak boleh memandu.
Dia kini berada dalam keadaan kurang sihat selepas terbabit kemalangan pada Disember tahun lalu.
Sazali yang tidak mempunyai anak sejak mendirikan rumah tangga dengan Hamidah Hitam, 58, turut dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya selain mendapat bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

