Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dai Syed bermalam lagi di lokap, titiskan air mata

Pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau lebih dikenali sebagai Dai Syed menitis air mata selepas dia perlu menghabiskan masa lebih kurang tiga malam lagi di lokap kerana tidak sempat melunaskan bayaran ikat jaminnya hari ini.

Meskipun bekas peserta siri realiti bercorak keagamaan itu telah dilepaskan dengan ikat jamin susulan berdepan tiga pertuduhan di mahkamah berbeza sebentar tadi, namun dia terpaksa bermalam di pusat tahanan reman sementara Beranang, Selangor bermula hari ini.

Ia susulan pihak penjaminnya tidak sempat untuk melakukan pembayaran wang jaminan bernilai RM35,000 tersebut akibat kekangan waktu.

Menurut peguam Syed Amirul Syed Edros, pihaknya agak terkilan selepas mendapati pertuduhan dimulakan agak lewat dan susulan itu pihak penjamin tidak sempat membayar wang ikat jamin di kedua-dua mahkamah terbabit.

“Kaunter jamin bukan mahkamah tetapkan kerana ada satu kaunter yang akan uruskan hal-hal jaminan.

“Kita difahamkan waktu jamin dah berhenti pada waktu 2.30 petang di Mahkamah Petaling Jaya dan pertuduhan di situ juga lewat habis iaitu pada jam lebih kurang 2.00 petang.

“Disebabkan (penjamin) tidak sempat membayar jaminan maka telah dikeluarkan satu waran penahanan untuk Syed dan dia perlu pergi ke pusat tahanan reman sementara di Beranang hingga tarikh terawal mahkamah dibuka semula,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Jelasnya lagi, penjamin anak guamnya merupakan pengurus serta abang kandungnya sendiri dan mereka akan menguruskan hal urusan jamin itu selewat-lewatnya Isnin depan.

“Pada Isnin baru urusan jamin dapat dijalankan kembali,” katanya lagi.

Hari ini, pendakwah selebriti tersebut melalui hari yang panjang setelah dihadapkan ke atas tiga pertuduhan di dua mahkamah berbeza.

Pada awal, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas dua pertuduhan termasuk cabul dan melakukan seks luar tabii.

Susulan itu, bagi pertuduhan tersebut, hakim kedua-dua Mahkamah Sesyen dan Majistret telah memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin berjumlah keseluruhan RM25,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Dua pertuduhan yang dihadapkan Syed Syah tadi bermula pada jam 11.00 pagi tadi kemudian berakhir lebih kurang jam 1.30 petang.

Berdasarkan penjelasan peguamnya kepada pemberita di Petaling Jaya selepas prosiding di situ selesai tadi, Syed Syah sepatutnya membayar ikat jamin yang dikenakan di Petaling Jaya terlebih dahulu sebelum dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di Petaling Jaya dikhabarkan terus membawa Syed Shah ke Mahkamah Shah Alam untuk meneruskan dakwaan atas pertuduhan merogol kerana kaunter ikat jamin di Petaling Jaya itu difahamkan telah tutup.

Syed Syah kemudian berdepan satu lagi pertuduhan merogol di Shah Alam dan dia mengaku tidak bersalah.

Setelah mendengar hujah dari pihak pendakwa raya dan peguam bela, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan tertuduh untuk membayar ikat jamin berjumlah RM10,000.

Bagaimanapun di Shah Alam juga, pihak penjamin tidak sempat melunaskan bayaran tersebut ekoran kaunter ikan jamin tersebut telah ditutup.

Sebelum ini, pendakwah berusia 25 tahun itu telah direman 10 hari di Mahkamah Shah Alam berhubung dakwaan kes merogol kenalan laman sosial Instagramnya.

Suspek kemudiannya direman lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam sehingga Jumaat ini (11 Dis) atas dakwaan serupa.

Lihat Komen
ADS