Seorang bintang Youtube yang ditahan reman kerana disyaki mencabul pada 10 Dis telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Pemuda berusia 22 tahun itu sebelum ini direman selepas laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun yang juga bekas pelakon dalam drama arahannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, ketika dihubungi mengesahkan lelaki itu dibebaskan semalam.

"Ya, dia dibebaskan dengan jaminan polis. Pihak polis masih lagi teruskan siasatan yang belum lengkap," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, bintang Youtube tersebut ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang wanita dalam kejadian di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kota Bharu, pada Ogos lalu.

Kejadian itu didakwa berlaku selepas sesi penggambaran drama untuk siaran saluran Youtube.

Menurut polis, penahanan terhadap suspek itu dibuat selepas suspek ditahan selepas tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 10 Disember lalu.