Miss/ Mrs Plus berdepan kekangan teruskan malam gala
Selepas berdepan isu nama acara yang bersesuaian, penganjur Miss/ Mrs Plus World Malaysia (MPWM 2020) kini mendakwa kewangan organisasi itu turut terjejas.
MPWM 2020 melalui kenyataan hari ini berkata, pertandingan mengetengahkan wanita bersaiz besar itu mengalami kerugian besar akibat beberapa faktor kekangan yang dihadapi sehingga membuatkan penaja-penaja mereka menarik diri.
“Ketika MPWM 2020 berusaha mengumpulkan dana bagi menyokong program dan menganjurkan gala bagi mengangkat wanita Malaysia bagi mewakili negara ini ke peringkat antarabangsa dan mempromosi imej baik yang ada, kami turut berdepan wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.
“Namun, cabaran paling teruk adalah apabila muncul badan pendakwah atau sayap parti yang mengancam untuk membatalkan acara, hal itu melambatkan persiapan program,” katanya.
Malaysiakini hari ini melaporkan Pemuda PAS membantah penggunaan Miss atau Mrs pada nama acara kerana terdapat fatwa yang mengharamkan wanita Muslim menyertai sebarang pertandingan ratu cantik.
Untuk rekod, seramai 24 finalis layak mara ke peringkat akhir dengan 10 daripada jumlah tersebut terdiri daripada peserta Muslim. Dua daripada finalis menarik diri atas sebab-sebab tertentu.

Pemuda PAS malah mencadangkan agar nama pertandingan diubah atas alasan MPWM 2020 turut mengeketengahkan 10 finalis beragama Islam.
Sayap parti itu turut menyarankan MPWM 2020 untuk mendapatkan rujukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat atau Jabatan Kemajuan Islam berhubung penggunaan nama acara.
Terdahulu, PAS juga mendesak penganjuran malam gala MPWM 2020 pada 2 Jan depan dibatalkan kerana mendakwa program tersebut berunsurkan kemaksiatan dan tidak seharusnya diadakan di negara dengan majoriti Melayu.
Selain PAS, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia turut menyifatkan acara seumpama itu sebagai menyuburkan budaya hedonisme dan mempunyai unsur mengeksploitasi wanita.
Bagaimanapun, MWPM 2020 dalam kenyataan balasnya sebelum ini berkata pertandingan tersebut tidak menilai peserta dari sudut kecantikan mahupun menetapkan syarat mereka perlu menonjolkan tubuh badan serta memakai bikini.
Mereka sebaliknya menganjurkan program yang membina keyakinan selain membawa objektif membina kesedaran terhadap perlecehan fizikal (body shaming) dan buli terhadap wanita bertubuh besar.
Pada masa sama, MPWM 2020 berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan sama ada untuk menganjurkan malam gala yang baik di Putrajaya atau pun secara virtual pada 2 Jan depan.
“Disebabkan tiga faktor tersebut, MPWM 2020 mengalami kerugian kewangan dan tidak pasti sama ada mampu menganjurkan sebuah malam gala yang baik ataupun secara virtual pada 2 Jan depan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya merayu orang ramai untuk menyumbang atau menaja program tersebut atau sekurang-kurangnya membantu dengan membeli tiket bagi majlis secara virtual sekiranya tidak dapat hadir ke malam gala tersebut.
“MPWM 2020 menyeru umum untuk menyokong tujuan mulia kami dengan menderma, menaja program atau sekurang-kurang membeli tiket gala secara virtual sekiranya tidak dapat hadir ke acara berkenaan,” katanya.

