Suami Shahriza Mahmud mengakui kerunsingan selepas tiga hari tidak dapat berjumpa pelakon itu yang dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Putrajaya akibat mengalami demam panas.

Kata Saddiq Rafali, dia akan berusaha untuk bertemu isterinya itu selepas pihak hospital memaklumkan keputusan ujian saringan Covid-19 ke atas pelakon itu negatif.

"Dah tiga hari saya tak dibenarkan untuk melihat dia. Memang runsing sebab pihak hospital bimbang sekiranya masalah berpunca daripada Covid-19.

"Alhamdulillah keputusan diterima adalah negatif dan situasi berlaku bukan disebabkan wabak berkenaan.

"Justeru, dia akan terus dirawat di Hospital Putrajaya dan tidak perlu dibawa ke Hosital Sungai Buloh," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Shahriza, 55, dikejarkan ke hospital tengah malam Ahad lalu selepas didapati meracau-racau selain suhu badannya dikatakan terlalu tinggi.

Dia kemudian ditempatkan di zon merah.

Pemeriksaan doktor turut mendapati ada jangkitan kuman pada darah dan paru-paru.

Shahriza juga dipindahkan ke CCU dari unit rawatan rapi (ICU) kerana bimbang sekiranya demam itu akibat dijangkiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat dengan salah seorang penulis projek telenovela terbitan Global Station yang disahkan positif wabak berkenaan.

Saddiq berkata, meskipun berada dalam CCU, pihak hospital memaklumkan kesihatan isterinya itu menunjukkan perkembangan yang baik.

"Saya bersyukur kerana tubuhnya bertindak balas dengan baik terhadap rawatan walaupun masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Doktor sedang merawat jangkitan kuman dalam darah dan paru-parunya menggunakan antibiotik paling kuat serta ubat jantung.

"Walaupun dalam keadaan induced coma buah pinggangnya juga semakin pulih," katanya.

Dia juga bersyukur kerana dengan titipan doa rakan-rakan yang tidak melupakan Shahriza ketika isterinya itu berdepan dugaan.

"Kawan-kawan isteri saya dari Brunei, United Kingdom, Itali semuanya bertanya khabar termasuk yang sudah lama tak hubungi juga ingin mengetahui perkembangannya," katanya.