Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas menerima kecaman tahun lalu, Aina Abdul kali ini berazam mengelakkan elemen kontroversi pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Kata Aina, dia berharap persembahannya di atas pentas nanti akan diingati dalam cara yang lebih baik sampai bila-bila.

“Saya tak mahu dikecam lagi kerana elemen kontroversi sampai tak sanggup nak tengok video persembahan sendiri di YouTube.

“Saya hanya mahu lakukan sesuatu agar peminat dapat mengingati persembahan malam itu dengan cara yang baik buat selamanya.

“Saya juga mahu jadi orang yang berbangga dengan hasil kerja sendiri. Justeru, harapan saya kali ini adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik dengan ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Aina ditemui pada sidang media AJL35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini. Dia merupakan salah seorang finalis AJL35 yang akan mempersembahkan lagu Semalam.

Pada AJL34 lalu, Aina tampil memakai serba putih dan menikam dadanya lalu keluar ‘darah’ membasahi pakaian yang dipakai.

Aksi itu menjadi sohor kini di media sosial dalam sekelip mata hingga mengundang kritikan ramai antaranya daripada Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA).

MIASA menyifatkan persembahan dengan konsep ala bunuh diri yang ditonjolkan Aina, 27, sebagai keterlaluan malah dikhuatiri menjadi pendorong individu yang mempunyai masalah mental melakukan perbuatan berbahaya.

Namun, Aina menjelaskan gimik persembahan berkenaan adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita.

Bagaimanapun, baru-baru ini, penampilan Aina semasa menyampaikan Semalam di pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-35 terlebih dulu mengundang kontroversi apabila kali ini dia disamakan seperti karakter Valak dalam filem seram The Nun dan The Conjuring 2.

Media melaporkan 12 finalis AJL35 diwajibkan menandatangani aku janji agar tidak menonjolkan elemen yang boleh mencetuskan kontroversi dalam persembahan.

AJL35 sepatutnya dijadual berlangsung pada 7 Februari depan terpaksa ditunda ke suatu tarikh yang akan diumumkan bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sementara itu, Aina menjelaskan syarat menandatangani aku janji yang ditetapkan penganjur kepada finalis AJL35 tidak menyekat kebebasannya berkarya.

“Walaupun kali ini ada garis panduan lebih ketat, saya pasti pasukan saya masih boleh bereksperimentasi.

“Apa yang penting adalah nak rasa puas, bukan semata-mata kerana nak memenangi anugerah pada malam itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS