Siti Zainon, Habsah antara anak seni dianugerah pingat kebesaran
Sasterawan Negara, Prof Dr Siti Zainon dan penulis lirik lagu-lagu Melayu, Habsah Hassan dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Kedua-dua penggiat seni itu antara 355 penerima darjah kebesaran dan bintang Wilayah Persekutuan yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Dengan pingat yang dianugerahkan itu Siti Zainon dan Habsah kini bergelar Datuk.
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkata pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya dalam lapangan yang mereka ceburi.
Selain itu, turut menerima PMW - yang jumlah keseluruhannya seramai 81 orang - ialah penyanyi Nora Ariffin dan penyanyi serta komposer Yusry Abdul Halim.
Pengurniaan darjah kebesaran tersebut membuatkan Nora memberi reaksi suka bercampur duka disebabkan dia tidak dapat berkongsi kegembiraan itu dengan allahyarham suaminya, Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017.
Habsah turut merakamkan kesyukuran selepas menerima penganugerahan tersebut yang dianggap sebagai pembakar semangat buatnya yang sudah lebih empad dekad aktif sebagai penggiat seni.
Annuar berkata, tarikh penyempurnaan istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu belum dapat dilaksanakan kerana penularan wabak Covid-19.
Ahli parlimen Ketereh itu berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan memaklumkan tarikh pengurnaiaan itu kepada penerima apabila keadaan mengizinkan.

