Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lizzy cemas peminat nak bunuh diri lihat dia pakai gaun pengantin

Penyanyi Elizabeth Tan mengakui dia tidak menjangkakan ada peminat sampai sanggup ‘bergurau’ ingin bunuh diri apabila melihat imej tular memaparkan dia memakai busana pengantin baru-baru ini.

Menyedari kebanyakan pengikut Instgram miliknya terdiri daripada kalangan lelaki, Elizabeth bagaimanapun berkata, dia tidak mampu mengawal sesuatu yang di luar jangka apabila setiap kali dia memuat naik hantaran terbaru di platform berkenaan.

“Lizzy (panggilan untuk Elizabeth) tau peminat 80 peratus kebanyakannya adalah lelaki.

“Namun saya tak jangka pula ada yang sampai nak unfollow (berhenti mengikut akaun media sosial) atau nak bunuh diri sekiranya Lizzy benar-benar berkahwin,” katanya.

Elizabeth berkata demikian pada sidang media pelancaranan single Beku yang dilancarkan secara maya di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, penyanyi Hazama yang bertindak selaku rakan duet Elizabeth dalam lagu berkenaan.

Beku merupakan ciptaan bersama John Jeevasingham, Firdaus Rahmat dan Omar K manakala liriknya yang ditulis oleh Firdaus Rahmat. Beku cuba mengangkat kisah memori cinta lama yang masih meninggalkan kesan kepada pasangan yang gagal dalam percintaan.

Menjelaskan perkara sebenar, Elizabeth berkata, imej yang menjadi topik bualan di media sosial bermula sekitar Januari lalu itu sebenarnya bertujuan mempromosikan Beku.

“Saya yang merancang semua konsep untuk video muzik Beku. Disebabkan mempunyai kekangan waktu, saya terpaksa menggunakan gimik.

“Itu saja cara untuk meraih perhatian umum kerana jika guna langkah promosi biasa saya khuatir tak berkesan. Saya dan Warner Music nak tarik perhatian ramai dengan cepat,” katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Knock Knock itu berkata, sememangnya terbit kerisauan berhubung perjalanan kariernya sekiranya suatu hari nanti dia benar-benar menamatkan zaman bujangnya.

Kata Elizabeth, 27, dia tidak mahu ada peminat yang tidak berfikir panjang selain berani mengambil pendekatan yang membahayakan diri sendiri hanya kerana penyanyi pujaan mereka ingin berkahwin.

“Lizzy risau bila tengok reaksi mereka macam tu terutama mengenai karier. Macam mana jika Lizzy benar-benar ingin berkahwin nanti?.

“Suatu hari nanti, Lizzy memang teringin benar-benar berkahwin,” katanya.

Lihat Komen
ADS