Pelakon dan model, Alicia Amin, 26, selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya yang juga seorang doktor, Farzan Iqbal, 27, pada jam 11 pagi tadi, dengan sekali lafaz.

Model terbabit atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin dinikahkan oleh bapanya Raja Amin Raja Mokthar selaku wali di hadapan ahli keluarga dan rakan terdekat.

Majlis tersebut berlangsung di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara serta dihadiri enam orang sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut pelakon itu, meskipun berdepan Covid-19, dia bersyukur majlisnya dipermudahkan dan berjalan lancar.

"Saya rasa sangat bertuah dapat melangsungkan pernikahan sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP). Persiapan kami memang singkat dan mujur dapat juga tarikh secepat mungkin.

"Kami belum ada perancangan untuk mengadakan sebarang resepsi selagi masih dalam tempoh PKP. Begitu juga perancangan bulan madu, tak terfikir lagi pun," katanya seperti dipetik portal Sinar Harian.

Manakala suaminya, Farzan turut meluahkan rasa bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Alicia.

Menurutnya, Alicia sememangnya menepati ciri-ciri isteri idamannya.

"Sewaktu bertemunya awal-awal dulu, saya sangat tertarik dengan keperibadiannya yang tersendiri. Alicia adalah wanita yang berani, lantang, tapi dalamannya sangat penyayang.

"Karakter kami sebenarnya hampir sama. Disebabkan itu, saya rasa kami memang saling melengkapi sesama-sendiri," katanya.