Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tercicir dari AJL35, Yonnyboii disapa rezeki dari Disney

Rezeki tidak salah alamat selagi ada daya usaha, demikian keyakinan penyanyi Yonnyboii yang teruja berpeluang mewakili Malaysia melalui runut bunyi filem Raya And The Last Dragon terbitan Walt Disney Animation Studios (Disney).

Meskipun tercicir daripada senarai 12 finalis Anugerah Juara Lagu ke-35, (AJL35), Yonnyboii tetap bersyukur apabila tuah lain tiba-tiba menjelma 'memujuk' hatinya.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu, semuanya bermula selepas dia diberi kepercayaan mengketengahkan vokal serta bakatnya dalam penulisan lirik lagu Trust Again yang dipersembahkan dalam pelbagai bahasa.

Dia menghasilkan lirik untuk rangkap berbahasa Inggeris.

“Akan ada rezeki baru, yang penting kita kena cari dan usaha. Sebelum ni, memang saya selalu mencari-cari ruang dan peluang untuk mengetengahkan bakat menulis lirik bahasa Inggeris.

“Saya luahkan hasrat tu pada Universal Music Malaysia dan sejujurnya langsung tak menjangkakan impian untuk berbuat demikian akhirnya termakbul pada 14 Jan lalu.

“Universal Music maklumkan ketika itu mengenai kerjasama akan dijalinkan saya bersama tiga lagi penyanyi dari Asia Tenggara yang bukan calang-calang iaitu Raisa dari Indonesia, Matthaios (Filipina) dan Sprite (Thailand),” katanya kepada Malaysiakini.

Ingatan pada sate, nasi lemak

Disebabkan perasaan teruja itu juga katanya dia berjaya menyiapkan satu rangkap lagu tersebut dalam tempoh 30 minit selepas dimaklumkan berita tersebut.

Menurut Yonnyboii, meskipun tidak berpeluang menyertai peringkat akhir AJL35, dia bersedia untuk memberikan persembahan terbaik apabila dijemput sebagai artis undangan pada majlis berkenaan yang dijadual berlangsung pada 14 Mac ini.

Raya And The Last Dragon adalah buah tangan pertama berinspirasikan budaya Asia Tenggara yang dibawakan Disney.

Trek pelbagai bahasa itu berkisahkan mengenai isu kepercayaan dan persahabatan melalui filem yang mendapat inspirasi dari negeri fantasi Kumandra dan pengembaraan Raya.

Raya merupakan puteri pendekar pertama Disney yang membawa simbolik semangat pelbagai negara Asia Tenggara.

Kerjasama muzik gabungan beberapa negara itu adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini.

Ia menjadi tunggak penting dalam komitmen Disney untuk bekerjasama dengan bakat tempatan dalam membawa kandungan hiburan yang berkualiti kepada penonton di Asia Tenggara.

Trust Again pada dasarnya meraikan realiti berbilang budaya yang membentuk rantau Asia Tenggara.

Mengulas pembabitannya dalam Trust Again, Yonnyboii berkata, dia diminta komposer lagu tersebut, Tatsuro Miller, untuk menggabungkan hidangan istimewa Malaysia dalam lirik lagu berkenaan.

“Miller minta saya hasilkan lirik yang bersesuaian untuk babak dilakonkan oleh watak utama, Raya. Justeru saya gabungkan hidangan sate dan nasi lemak.

“Ia juga bertujuan mengingatkan pelancong yang pernah datang ke sini mengenai keenakan makanan tersebut,” katanya.

Lihat Komen
ADS