Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Erra harap Aleesya cuma bergurau tak izin berkahwin lagi

Hampir 12 tahun anaknya, Engku Aleesya Engku Emran, mendambakan seorang adik, Erra Fazira berkata, ia menjadi kenyataan selepas bekas suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin berkahwin lagi baru-baru ini.

Namun, ditanya mengenai kemungkinan dia sendiri akan menghadiahkan adik kepada Aleesya, Erra berkata, hasrat untuk berumah tangga kembali hanya akan diteruskan sekiranya dia mendapat ‘restu’ daripada anak tunggalnya itu.

“Saya pernah saja-saja usik dia dan tanya, macam mana jika saya kahwin lagi. Aleesya jawab: 'ayah nak kahwin, biarkan dia kahwin, tapi mama tak perlu (kahwin),” katanya.

Secara berseloroh diiringi ketawa, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek itu kemudian berkata: “Saya harap Aleesya cuma bergurau sajalah.”

Sejujurnya, kata Erra, 47, tetap ada impian untuk dia kembali berumah tangga namun menyerahkan soal jodohnya kepada Yang Maha Esa.

“Saya tak kata saya tidak cari jodoh, cuma mak Aleesya ni kena tunggu dulu,” katanya pada majlis pelancaran pelitup muka Himaya di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media itu turut memperkenalkan Erra sebagai duta produk jenama berkenaan. Selain Erra, penyanyi Wany Hasrita juga dilantik sebagai duta produk pelitup muka jenis perubatan tersebut.

Terdahulu, Engku Emran menikahi Noor Nabila pada 19 Mac lalu, sekali gus mengesahkan spekulasi bertebaran mengenai hubungan romantis yang terjalin di antara mereka.

Kakak pengacara terkenal Neelofa itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Sharnaz Ahmad namun bercerai secara rasmi pada Julai tahun lalu. 

Hasil perkongsian hidup itu, Noor Nabila dan Sharnaaz dikurnia Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia hampir 3 tahun.

Bercerita keterujaan Aleesya, kata Erra, anaknya itu gembira kerana impiannya untuk mendapat ‘adik baru’ akhirnya termakbul.

Berbuat baik pada semua

Menurutnya, bibir Aleesya hingga kini tidak lekang daripada menyebut nama adik barunya itu.

“Selama 11 tahun dia seorang, tak ada adik-beradik lain. Aleesya memang nak sangat ada adik. Dia selalu menyebut dan memuji Jebat. Dia sifatkan Jebat seorang kanak-kanak bijak,” katanya.

Justeru, Erra berharap peluang itu dapat digunakan sebaik-baiknya oleh Aleesya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kakak yang baik.

“Saya selalu nasihatkan dia agar berbuat baik pada sesiapa pun,” katanya.

Pelakon Soal Hati itu yang sebelum ini pernah menjalin cinta dengan penyanyi Shahir Zawawi berkata, ketika usianya begini, dia tidak boleh terlalu cerewet menetapkan kriteria calon suami. 

Justeru katanya cukuplah jika lelaki itu nanti seorang yang bertanggungjawab pada keluarga.

Erra (kanan) bersama Wany Hasrita menjadi duta produk pelitup muka

“Dulu waktu muda adalah kriteria itu, kriteria ni. Sekarang ni saya rasa jika dia seorang bertanggungjawab, mampu jaga keluarga dan serasi, itu sudah cukup bagus,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya sebagai duta Himaya, Erra berkata, dia bersetuju menggalas tanggungjawab mempromosi produk tersebut kerana menggemari kualiti jenis pelitup muka yang dihasilkan.

Menurutnya, fabrik penapis kelas perubatan premium itu - yang mendapat pengiktirafan Medical Device Authority oleh Kementerian Kesihatan Malaysia - mempunyai keunikan tersendiri selain memudahkan pengguna wanita berhijab sepertinya.

“Saya menyukai kemasan akhir pada fabrik. Bagi saya, ia tak sama dengan pelitup muka jenama lain yang pernah saya gunakan,” katanya.

Erra berkata, sebelum dia bersetuju untuk menerima sebarang kontrak sebagai duta, perkara utama diambil kira adalah keserasian dalam bekerjasama.

“Nak kerja untuk tempoh lama... mungkin setahun atau lebih, justeru saya perlu mencari kesesuaian dalam bekerja iaitu adakah pihak di sana mahu mendengar pandangan kita.

“Selain itu, setiap bulan syarikat Anggun Kirana Sdn Bhd menyasarkan kutipan jualan untuk diserahkan sebagai sumbangan kebajikan, mereka bukan semata-mata jual pelitup muka, ni juga adalah penanda aras mengapa saya memilih mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS