Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nur kini melangkah untuk berkisah di Indonesia
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Drama Nur yang pernah mencetus fenomena dan mencatat jumlah tontonan yang tinggi di TV3 dan platform digital kini melebarkan tayangannya ke Indonesia melalui kolaborasi stesen itu dengan MNCTV.

Ketua Pegawai Kandungan Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, berkata pihaknya amat teruja dengan kolaborasi tersebut kerana ia dilihat satu langkah yang tepat.

“Ia memandangkan populariti drama Nur dan jumlah tontonan yang dicapai di TV3.

"Kami juga gembira kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperluaskan lagi sayap drama ini ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Melalui perjanjian tersebut, Nur musim pertama dan kedua akan ditayangkan secara serentak di dalam semua rangkaian platform MNC Media.

Drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu dibintangi barisan pelakon seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Jalaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar.

Karya bersiri itu berkisahkan dilema cinta dua insan dengan latar belakang yang berbeza berlaku kepada ustaz muda bernama Adam dengan pelacur bernama Nur.

Nur adalah ‘gadis lorong’ yang tidak mendapat didikan agama sempurna. Kisah cinta tragis itu mendapat tentangan hebat dari keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Program MNCTV, Endah Hari Utari, berkata Nur adalah sebuah drama menarik, menghiburkan dan sebuah hasil produksi yang hebat.

“Ini merupakan alasan utama kami memilih Nur. Drama ini akan menjadi tambahan variasi kepada kandungan sedia ada dan berbeza berbanding program-program yang biasa ditayangkan dalam MNCTV sebelum ini.

“Kami juga yakin yang drama hebat ini akan mengimarahkan lagi suasana Ramadan dalam MNCTV,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS