Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iklan judi raya: Punca sebenar pihak yang mengupah, kata Bront
Diterbitkan:  Apr 17, 2021 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Bront Palarae berpandangan punca sebenar tersebarnya iklan judi raya sehingga tular di media sosial baru-baru ini adalah pemilik judi dalam talian dan pihak yang membayar upah untuk pembikinan klip video tersebut.

Justeru, pelakon dan penerbit itu mempersoalkan tindakan polis menahan lapan individu yang merupakan kru bagi video tersebut.

“Kenapa tahan yang diupah? Punca masalah ialah yang mengupah (pelanggan atau pemilik jenama),” ciapnya di Twitter.

Pada ciapan tersebut, Bront melampirkan pautan artikel Malaysiakini hari ini, bertajuk “Polis tahan 8 individu disyaki terlibat iklan judi raya.”

Dalam laporan daripada Bernama itu, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata lapan individu yang ditahan itu dipercayai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah dalam video berkenaan.

Menurutnya, sesemua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu.

Pada masa sama, Acryl berkata usaha mengesan dalang sebenar pembikinan video itu sedang berjalan.

Setakat semakan Malaysiakini setakat petang ini, ciapan itu mendapat lebih 1,000 kali ulang ciap dan hampir 1,500 tanda suka.

Segelintir warganet setuju dengan pandangan pelakon Bunohan itu manakala yang lain pula berpandangan mana-mana pihak yang terlibat dengan video tersebut memang perlu dikenakan tindakan.

Klip video tersebut mengundang kemarahan banyak pihak kerana mengaitkan sambutan raya dengan perjudian dalam talian, selain disebarkan ketika bulan Ramadan.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pihaknya telah berhubung dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube agar video tersebut diturunkan.

Lihat Komen
ADS