Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas ditunda dua kali Mencari Rahmat akhirnya temui tarikh tayang
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 4:06 PM
Dikemaskini: Apr 21, 2021 2:35 AM

Filem Mencari Rahmat yang sudah dua kali ditunda tayangannya sebelum ini akhirnya akan menemui penonton pada 10 Jun ini.

Penerbitnya, Zuli Ismail, berkata penundaan sebelum ini terpaksa dibuat memandangkan pawagam ditutup bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

“Setelah terpaksa ditunda sebanyak dua kali, ingin saya nyatakan bahawa tarikh baru untuk tayangan filem Mencari Rahmat ialah pada 10 Jun ini.

“Kami juga telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang memaklumkan tentang tarikh tayangan yang baru ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan media.

Zuli berkata dengan tarikh baru yang ditetapkan itu dia berharap agar tayangan filem Mencari Rahmat tidak akan lagi ditunda tayangannya di pawagam.

“Saya percaya memang ramai yang menantikan tayangan filem ini, cuma apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar kawalan kami.

“Justeru saya menyeru kepada penonton supaya jangan lepaskan peluang menonton filem ini apabila ditayangkan di pawagam nanti,” jelasnya.

Asalnya Mencari Rahmat ditayangkan pada 18 Jun tahun lalu tetapi ia ditunda ke tarikh 31 Disember tahun sama.

Namun, ia sekali lagi ditunda berikutan pandemik Covid-19 yang melanda sehingga pawagam terpaksa menutup operasi buat sementara waktu.

Lihat Komen
ADS