Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Memang salah kami, kata Asyraf dan Tya
Diterbitkan:  Apr 24, 2021 6:18 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Pasangan suami isteri Asyraf Khalid dan Tya Arifin mengaku sudah memohon maaf kepada Siti Nurhaliza kerana memuat naik gambar anak kedua penyanyi popular itu, sebaik saja dilahirkan.

Mereka juga memuat naik video yang menunjukkan suasana Siti menerima kunjungan ramai tetamu di sebuah hospital di Selangor selepas selamat melahirkan bayi tersebut pada 19 April lalu, yang tular kemudiannya.

Kunjungan membabitkan ramai orang itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Pasangan berkenaan juga berkata mereka telah memadam video dan gambar dimaksudkan di Youtube dan Instagram.

Menurut Asyraf, mereka sudah berhubung dengan Siti bagi memohon maaf melalui WhatsApp dan panggilan telefon.

"Cuma Mak Iti (Siti Nurhaliza) berpesan jadikan perkara itu sebagai iktibar pada masa akan datang.

"Insya-Allah kami akan melawat Mak Iti berpantang di rumahnya hujung minggu ini," katanya pada pemberita pada majlis berbuka puasa di Wisma Mutyara semalam.

Pegawai Eksekutif jenama jamu kesihatan Mutyara itu berkata, dia berbuat demikian kerana teruja sebagai abang, dan ingin berkongsi saat istimewa kelahiran adiknya.

"Cuma tak sangka perkongsian itu jadi begini. Lepas tular, memang rasa tak seronok dengan Mak Iti. Tak pasal-pasal timbul cerita macam-macam.

"Perkara tu memang bukan salah Mak Iti atau sesiapa. Salah itu datang daripada kami. Minta maaf kepada sesiapa yang terguris hati termasuk Mak Iti sendiri," katanya lagi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berkata mereka mematuhi SOP ketika melawat Siti di hospital tersebut.

"Kami masuk hospital dengan memakai pelitup muka, jaga jarak, termasuk melakukan pengimbasan kod QR My aplikasi MySejahtera dan pengambilan suhu badan. Kami datang berdua. Ambil video pun dengan telefon bimbit sendiri.

"Tak timbul juga isu kami cuba menumpang populariti mencari kandungan digital membabitkan Mak Iti. Isteri saya sendiri sudah terbiasa membuat vlog saban hari," katanya.

Sementara itu, Tya pula insiden itu merupakan sesuatu yang 'kurang enak' buat dirinya.

Katanya secara jujur dia rasa bersalah dengan apa yang terjadi.

"Walaupun sudah minta maaf kepada Mak Iti dan ayah (Khalid Mohamed Jiwa), mereka di luar sana masih rasa tak seronok.

"Memang ramai yang marah dan mereka berhak rasa begitu. Sempena bulan Ramadan ini, saya dan suami tak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

"Biarlah Mak Iti berpantang dan membesarkan anak keduanya dengan tenang. Sebagai ibu, momen inilah yang ditunggu Mak Iti untuk melihat anaknya membesar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS