Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Langgar SOP: Awie sudah bayar denda, kata pengurus
Diterbitkan:  May 9, 2021 10:29 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

Pengurus kepada Awie memaklumkan penyanyi rock terkenal itu sudah membayar denda kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Memetik laporan Harian Metro hari ini, Mubarak Akhtar berkata pihaknya mengakui kesalahan yang dilakukan, susulan tular video insiden itu yang berlaku ketika progam misi kemanusiaan di sebuah hotel di Melaka baru-baru ini.

"Kita dah buat salah, dah langgar prosedur operasi standard (SOP), mengaku dan bayar denda," kata Mubarak dalam rakaman suara kepada media, seperti dipetik.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 42 saat memaparkan Awie menyanyi beramai-ramai tanpa mematuhi SOP, termasuk tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial, tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Mubarak berkata program itu melibatkan misi bantuan kepada pengayuh beca.

"Ini semua benda dah nak jadi, nak buat macam mana. Ini misi bantuan dengan penarik beca.

"Mereka minta Awie menyanyi, tapi Awie tidak mahu menyanyi. Jadi, kami pasang video muzik saja di depan," katanya.

Awie kemudiannya berdiri di sebelah mejanya sebelum dikerumuni oleh para hadirin, dakwanya lagi.

Polis Melaka hari ini berkata akan memanggil Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, serta beberapa individu lain termasuk penganjur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No 3) 2021.

Lihat Komen
ADS