mk-logo
Seni & Hiburan
Keluarga Neelofa beri keterangan di IPD Brickfields
Diterbitkan:  May 18, 2021 6:02 PM
Dikemaskini: May 22, 2021 9:16 AM

Ahli keluarga usahawan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Kuala Lumpur dipercayai untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa itu hari ini.

Mereka tiba dengan menaiki sebuah Toyota Alphard kira-kira jam 2.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, secara keseluruhan ada 10 orang ahli keluarga termasuk Neelofa hadir memberi keterangan pada petang ini.

“Semua mereka memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Terdahulu, Anuar mengesahkan mereka menjalankan siasatan ke atas keluarga selebriti itu susulan tularnya rakaman klip video memaparkan mereka berkumpul dalam jumlah yang ramai.

Ia kemudian mencetuskan tanda tanya sama ada mereka berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) atau sebaliknya.

Pertemuan tersebut dikatakan berlaku pada 1 Syawal lalu di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

Menurut Anuar, terdapat video tular yang dimuat naik melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti berkenaan, Noor Nabila, yang merakamkan detik sambutan Hari Raya Aidilfitri Khamis lalu di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

Namun selepas memuat naik memori raya tersebut, Noor Nabila memadam kandungan berkenaan dalam tempoh yang singkat.

Ia memaparkan Neelofa bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, Nabila dan Engku Emran serta anaknya, Engku Qaleesya bersalam-salaman selain berpelukan.

Turut dilihat berada di tempat kejadian pada ketika itu adalah ibu bapa Neelofa, Noor Kartini Noor Mohamed dan Abdul Halim.

Kes berkenaan muncul ketika Neelofa dan Haris atau PU Riz masih disiasat atas dakwaan merentas negeri untuk membeli karpet di Nilai 3, Seremban.

Pengacara itu sebelum ini mencetus polemik apabila dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 di hari perkahwinannya pada 27 Mac lalu.

Selain itu, 20 orang anggota keluarga Neelofa yang hadir dalam majlis perkahwinan itu dikompaun masing-masing RM1,500 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.

Neelofa, 32, juga didapati bersalah melanggar tujuan rentas negeri yang dibenarkan. Dia dan Haris dikompaun RM10,000 bagi kesalahan tersebut.

Lihat Komen
ADS