Keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk semakan kehakiman berhubung pengampunan tambahan yang diberikan kepada Najib bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pendedahan itu dibuat susulan tindakan nyah klasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang didedahkan kepada umum oleh bekas anggota parlimen DAP Tony Pua di media sosial dan kemudiannya dilaporkan oleh Malaysiakini.

Minit berkenaan menunjukkan Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh, masing-masing tidak bersetuju dengan perintah tersebut.

Dalam satu kenyataan pagi ini, AGC memaklumkan bantahannya terhadap semakan kehakiman itu berdasarkan “alasan bahawa keputusan yang dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak boleh diadili di mahkamah (not justiciable)”.

Bantahan itu dikemukakan semasa pendengaran pada 12 Nov 2026 bagi menentukan sama ada kebenaran wajar diberikan untuk prosiding semakan kehakiman dimulakan. Penghujahan oleh pihak-pihak terlibat dijadualkan didengar pada 17 Mac 2027.

“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” tambah kenyataan itu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata minit mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 Sept yang dinyahsulitkan bagi membolehkan AGC menyediakan afidavit jawapan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia pada 11 Nov.

Dia menjelaskan minit itu perlu dimasukkan ke dalam afidavit kerajaan bagi menjawab cabaran undang-undang tersebut.

“Dokumen itu mesti dinyahklasifikasikan terlebih dahulu bagi membolehkan peguam negara menyediakan afidavit jawapan. Afidavit itu hanya akan lengkap jika perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dimasukkan ke dalamnya,” tambahnya.

Walaupun terdapat bantahan daripada peguam negara dan menteri terbabit, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan, berkenan memberikan pengampunan tambahan kepada Najib, sekali gus membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pelepasan itu bersyaratkan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan ke atas bekas presiden Umno tersebut, selain beberapa ketetapan lain.

Dengan denda itu selesai dibayar menggunakan dana yang dikumpul oleh Umno, Najib dipindahkan ke kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur, yang diwartakan sebagai penjara.

Pendedahan Pua berhubung minit yang dinyahklasifikasikan itu turut mencetuskan kemarahan pemimpin Umno, yang menuduh bekas wakil rakyat DAP itu bersikap biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong serta menjejaskan martabat institusi beraja apabila mengheret kuasa prerogatif pengampunan diraja ke kancah politik.