Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ryzal terkilan anak belum lahir kena tempias isu pakaian Iban
Diterbitkan:  May 27, 2021 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

YouTuber popular Ryzal Ibrahim berharap netizen berhenti mengecam dia, isteri dan anak dalam kandungan susulan gurauannya menyamakan pakaian tradisional suku kaum Iban di Sarawak seperti kain buruk.

Meskipun menyedari situasi itu timbul berpunca daripada keterlanjurannya sendiri semalam, Ryzal mengakui dia tetap bersedih kerana anak yang belum lahir itu turut menerima tempias.

“Ada orang menghentam anak dalam kandungan (isteri) Maryam seperti sekian, sekian…. Kami sedih sebab netizen menghentam anak yang belum lahir, belum melihat dunia lagi dah kena caci hamun dengan masyarakat," katanya di media sosial.

Kata Ryzal dia tidak menyalahkan sesiapa atas kekalutan yang berlaku kecuali dirinya sendiri dan mengakui tidak sensitif semasa menyatakan pandangan.

Justeru dia berazam untuk berhati-hati walaupun semasa bergurau.

“Ryzal cuma berharap, selepas ni, tiada lagi isu berlanjutan berkaitan dengan apa yang berlaku,” katanya di media sosial.

Dia juga meminta orang ramai tidak menyalahkan Maryam - atau nama asal wanita dari Korea Selatan itu - You Narae dalam salah faham yang sedang dialami.

“Maryam tak ada kaitan. Dia tak faham apa yang berlaku.

"Apabila ramai orang hantar mesej kepadanya, dia akan merujuk kepada saya untuk bertanyakan hal berkenaan,” katanya.

Dua selebriti tak senang

Sebelum ini Ryzal berkongsi berita mengenai kehamilan isterinya pada April lalu. Maryam kini hamil tiga bulan selepas bernikah dengan Ryzal pada 2019.

Terdahulu, tindakan Ryzal menyebut perkataan kain buruk sewaktu Maryam sedang memakai pakaian tradisional kaum Iban di Sarawak itu untuk sebuah program mengundang perasaan tidak puas hati warga maya.

Pemilik nama penuh Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 29, itu kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka melalui platform media sosial.

Kata Ryzal, dia menyifatkan ia sekadar gurauan yang biasa dilakukannya ketika berada di rumah dengan Maryam.

“Saya betul betul meminta maaf kerana tiada niat langsung nak jadi rasis kepada mana-mana kaum, cuma terpetik pakaian itu seperti alas televisyen, langsir, dan sebagainya.

“Ini juga bukan strategi pemasaran. Harap masyarakat Malaysia khususnya kaum Iban di Sarawak dapat menerima permohonan maaf yang dibuat,” katanya.

Untuk rekod, video dimuat naik melalui saluran Duriankimchi TV itu telah pun diturunkan.

Sementara itu, dua selebriti, Sharnaaz Ahmad dan Faye Khusairi antara individu meluahkan kekesalan terhadap video disifatkan biadab dimuat naik oleh Ryzal.

Faye berkata, sebagai anak kelahiran Miri, Sarawak, tindakan Ryzal itu telah mengguris hatinya.

Sharnaaz pula menegaskan komen yang dibuat mencalarkan nama penggiat seni kreatif tempatan.

 

Lihat Komen
ADS