Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Tak adil salahkan saya hanya kerana klip video disunting'

Sering mengocak suasana dengan aksi yang kontroversi di media sosial, Iqram Dinzly menafikan perbuatan itu dibuat kerana dia berdepan masalah pendapatan sehingga sengaja mencari perhatian.

Bahkan kata Iqram tidak wajar untuk sesiapa mengadilinya sebagai seseorang yang rosak akidah serta sangat memerlukan bantuan - dari segi mental dan emosi - hanya disebabkan kemunculan dalam video pendek ditularkan melalui TikTok.

Jelasnya, video yang antaranya memaparkan dia berkata “sembahlah aku” itu sebenarnya disunting sebelum dimuat naik ke aplikasi tersebut.

“Saya cuma berinteraksi dengan anak-anak muda, cuba mengajak mereka berbicara soal agama memandangkan begitu banyak perkara bercanggah yang dimuat naik dalam YouTube ketika ini.

“Apa yang saya cuba tunjukkan adalah perangai anak muda. Saya gambarkan keseluruhan kehidupan manusia (melalui imej dan penampilan ketika itu).

“Justeru, tidak adil untuk persalahkan saya kononnya boleh merosakkan akidah anak muda hanya berdasarkan video yang telah disunting sedangkan rakaman secara langsung tu sebenarnya berlaku lebih dari sejam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tak pernah duduk diam

Terdahulu, pemilik nama penuh Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 39, itu tular melalui sebuah video berdurasi 1.20 minit bersama seorang lelaki.

Isi kandungan rakaman memaparkan mereka berdua sedang berbual berkaitan agama Islam namun pada satu babak, Iqram tiba-tiba meminta dirinya disembah lantas menimbulkan kemarahan segelintir netizen.

Ia turut mengundang perhatian juara Pencetus Ummah (PU) musim 3, Syed, yang meminta Iqram mendapatkan rawatan sekiranya dia benar-benar ‘sakit’.

Jika sebaliknya, PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak menyarankan agar tindakan diambil kerana pelakon berkenaan didakwa merosakkan akidahnya dan umat Islam yang lain. 

Mengulas tuduhan itu, Iqram, 39, berkata PU Syed patut mempelawanya untuk bersemuka berbanding membuat tuduhan tanpa sebarang usul periksa.

“Menuduh tanpa bukti kukuh, cukup tak? Anak muda lebih beradab, mereka tahu untuk ajak berbincang.

“Saya jadi geram sebab yang bercakap tu seorang juara PU,” katanya yang pada sama sama tidak menolak sekiranya ada pihak memang gemar menabur fitnah ke atasnya.

Berkongsi perkembangannya yang terbaru, Iqram berkata, pasti ada saja aktiviti akan dilakukan bagi mengisi perjalanan hariannya sewaktu tiada penggambaran.

“Saya tak pernah duduk diam. Saya mula usahakan perniagaan kek mentega (butter cake) sejak awal PKP 1.0. Alhamdulillah jualan sudah mencecah kira-kira 400 biji setakat ni.

“Dari sudut lakonan pula, saya tak pernah tak ada produk. Hujung tahun lalu saya habis menjalani penggambaran untuk drama Korsakoff bersama Erra Fazira. 

"Tapi saya tidak pasti bila naskhah tu akan ditayangkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS