Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Nordiana teruskan tindakan mahkamah untuk bersihkan nama
Diterbitkan:  Jul 28, 2021 3:39 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Penyanyi Siti Nordiana bertekad meneruskan tindakan saman terhadap lima individu yang didakwa menyebarkan kenyataan fitnah terhadapnya susulan tiada permohonan maaf seperti yang dituntut dibuat dalam tempoh 48 jam.

Siti Nordiana atau Nana memberitahu, dia telah mengarahkan peguamnya dari firma Tetuan Abang Azlan & Associates untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap penyanyi Lan Solo dan isterinya, Sheila Razlan; penyanyi Syura Badron, Pegawai Perhubungan Awam FMC Sam Samin, serta jurusolek, Aida G.

“Memandangkan tiada permohonan maaf setelah tamatnya tempoh 24 jam tersebut, Nana telah mengarahkan peguam Nana untuk meneruskan dengan tindakan saman terhadap kelima-lima individu terbabit.

“Keputusan tersebut diambil bagi membersihkan nama dan imej yang telah dicalarkan oleh kenyataan-kenyataan tersebut sama ada secara langsung atau tidak akibat daripada siaran Instagram Live tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu berkata, tindakan saman tersebut akan difailkan selewat lewatnya pada 2 Ogos ini.

Terdahulu, penyanyi Cukup Derita Itu memberi tempoh selama 48 jam kepada lima individu terbabit untuk membuat permohonan maaf kerana didakwa memfitnahnya melalui sesi siaran langsung dalam Instagram pada 20 Julai lalu.

Dalam sesi itu, Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof dan isterinya mencetus kontroversi apabila membuat pendedahan mengejutkan yang berlaku antara mereka dan Siti Nordiana.

Pelakon drama Dia Semanis Honey itu juga membuat laporan polis melalui peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin, di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 23 Julai lalu untuk menafikan segala dakwaan dibuat lima individu berkenaan.

Sementara itu, media melaporkan kelima-lima sekawan itu menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak peguam yang dilantik mereka pada 26 Julai lalu.

Selain itu, masing-masing juga mengakui sudah menerima notis dikemukakan Siti Nordiana, menerusi Abang Azlan.

Lihat Komen
ADS