Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tauke rasa lucu dikaitkan sebagai 'bapa ayam'
Diterbitkan:  Aug 3, 2021 9:03 PM
Dikemaskini: Aug 5, 2021 3:07 AM

Pelawak Tauke menafikan dia merupakan individu yang ditahan polis kerana disyaki mempunyai kaitan dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan mengeksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Malah Tauke berkata, dia tiada kaitan dengan penahanan membabitkan seorang pelawak seperti yang dilapor media hari ini.

“Saya tidak terbabit dalam apa-apa kegiatan seperti itu. Gilalah siapa yang petik nama saya itu.

“Saya ada saja di rumah di Bukit Jalil ini. Saya berada dalam keadaan baik dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

“Biarlah apa orang nak cakap, tapi tak eloklah kaitkan saya dengan isu sedemikian," katanya dipetik Harian Metro.

Menurut pemilik nama sebenar Zamratul Amri Zakaria itu, dia tidak marah walaupun namanya disebut-sebut dalam kalangan netizen bahkan menganggap perkara itu sesuatu yang lucu.

“Rasa kelakar pula bila nama saya dikaitkan dalam perkara ini.

“Saya tiada hak untuk menutup mulut orang. Masing-masing ada hak bersuara. Kalau Agong pun orang boleh pertikaikan, apatah lagi saya ini.

“Jangan risau saya berada dalam keadaan yang baik disamping isteri saya sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Nadia Mohd Affandi turut menafikan suaminya terbabit dalam jenayah sedemikian serta mengesahkan lelaki itu berada di sisinya ketika ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang selebriti ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri itu.

Dalam serbuan pada jam 10 pagi itu, polis turut berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.

Sejak berita itu disiarkan, nama Tauke antara yang dikatakan terbabit dalam jenayah tersebut.

Lihat Komen
ADS