Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jangan jadikan selebriti ditangkap sebagai isu kata polis

Sejak malam tadi tular di media sosial sebuah laporan beserta nombor kad pengenalan individu dipercayai seorang pelawak yang dikaitkan dalam kes pemerdangan manusia bagi tujuan mengeksploitasi seks.

Laporan tular itu muncul selepas pelawak terbabit menafikan dirinya yang ditahan polis pada 1 Ogos lalu selepas disyaki mempunyai kaitan dalam kegiatan tidak bermoral terbabit.

Namun, polis Negeri Sembilan secara umum menasihatkan orang ramai tidak menjadikan penahanan seorang selebriti sebagai suatu isu.

Ketua polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata semasa ditahan polis tidak tahu pun lelaki terbabit seorang pelawak.

“Justeru, nasihat saya kepada orang ramai, jangan memburuk-burukkan lagi isu hingga boleh menjatuhkan nama seseorang.

“Tolong jangan jadikan ini isu disebabkan dia seorang pelawak. Jangan turut jejaskan seluruh industri sebab ini kerja individu.

“Tunggu dulu keputusan siasatan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Terdahulu, seorang lelaki berumur 40-an ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Negeri Sembilan.

Susulan penangkapan itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Media melaporkan, pelawak Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria yang dikaitkan dalam kes terbabit turut menafikan sekeras-kerasnya dia adalah selebriti yang ditahan malah menegaskan sedang berada di rumah ketika itu.

Sehari kemudian, media melaporkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 3 Ogos lalu.

Tambah Mohamad Mat Yusop, kes itu masih lagi disiasat dengan beberapa orang saksi berkemungkinan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Polis masih mencari seorang atau dua orang lagi saksi untuk membantu menyelesaikan kes ini,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi isteri pelawak terbabit bagi mengesahkan laporan namun tidak berjaya kerana panggilan tidak dijawab.

Lihat Komen
ADS