Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kita seronok bermain dengan jari, kata Tauke
Diterbitkan:  Aug 6, 2021 7:54 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Tidak tahan namanya menjadi sorotan selepas dikaitkan dengan tangkapan ke atas seorang selebriti baru-baru ini, pelawak Tauke hari ini tampil berkongsi curahan hati.

Dalam luahannya itu Tauke berkata, ada pihak terlalu gemar menuding jari hingga mengaibkan seseorang sesuka hati.

“Sahabat beriman, kita seronok bermain dengan jari. Kita seronok mengaibkan orang lain. Kita seronok memfitnah, mengumpat dan mencemarkan maruah orang lain sesuka hati,” katanya di Instagram Story hari ini.

Terdahulu, seorang pelawak ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan mengeksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 1 Ogos lalu.

Dalam serbuan pada jam 10 pagi itu, polis turut berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa kegiatan pelacuran.

Beberapa nama pelawak kemudian mula dikaitkan dengan tangkapan terbabit termasuk Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria itu.

Bagaimanapun, Tauke menafikan sekeras-kerasnya dirinya adalah pelawak yang dimaksudkan. 

Dengan apa yang berlaku itu, Tauke mempersoalkan apakah orang ramai boleh menganggap diri mereka lebih baik daripada orang lain.

“Kita membuka ruang untuk menghasut agar membenci sesama makhluk. Adakah kita berasa kita begitu mulia?” katanya pada hantaran yang sama.

Lihat Komen
ADS