Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Sarah sudah tiada
Diterbitkan:  Aug 9, 2021 6:19 AM
Dikemaskini: Aug 12, 2021 7:05 AM

Penyanyi Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), menjelang subuh hari ini.

Berita sedih itu dimaklumkan suaminya Shuib Sepahtu melalui Instagram sebentar tadi.

Katanya Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi.

“Pada 5.13 minit pagi, bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Sandarkan Pada Kenangan itu terpaksa ditidurkan pada 6 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya menurun akibat jangkitan Covid-19.

Doktor juga terpaksa melakukan pembedahan ke atas Siti Sarah bagi menyelamatkan kandungannya. Anak pasangan terbabit, Ayash Affan, selamat dilahirkan tidak lama kemudian.

Sebelum majlis bacaan Yassin dan doa selamat yang diadakan malam tadi, Shuib memaklumkan Siti Sarah, 36, tidak berada dalam keadaan baik.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad itu, paras bacaan oksigen Siti Sarah menurun 40 peratus, malah isterinya itu juga sudah ditiarapkan.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dia dan keluarganya positif Covid-19 selepas seorang pembantunya terkena jangkitan Covid-19. 

Kata Allahyarham ketika itu, dia risaukan kandungan dalam perut yang itu sudah berusia tujuh bulan.

Sementara itu, pihak pengurusan Siti Sarah, Indigital Music dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan Allahyarham.

“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu.

“Sebarang maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.

Siti Sarah berkahwin dengan Shuib pada 27 Februari 2011. Hasil perkahwinan itu, selain Ayash Affan, pasangan terbabit turut dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun.

 

Lihat Komen
ADS