Pelakon Remy Ishak yang baru mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos lalu, menzahirkan perasaan syukur di atas pemberian istimewa daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Menerusi entri terbaru Remy bersama isterinya, Ezza Yusof berkongsi klip video pendek memaparkan hadiah berkenaan sempena perkahwinan mereka berdua daripada Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah .

“Patik dan isteri merafak sembah menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah atas hadiah perkahwinan daripada Istana Negara kepada kami berdua.

“Kami mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat serta limpah kurnia Allah SWT buat Tuanku dan Tunku,” katanya di Instagram hari ini.

Pasangan itu diijabkabulkan Sabtu lalu secara tertutup di Masjid Negara, Kuala Lumpur mengikut prosedur operasi standard SOP) Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). 

Terdahulu, Remy atau nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 39, memohon maaf sekiranya ada melukakan mana-mana pihak selepas mendakwa tidak putus-putus menerima mesej daripada peminat dikirim kenalan terdekat yang mengakui patah hati selepas dia bergelar suami orang.

“Sejak dua hari lepas banyak betul mesej daripada kawan-kawan dan keluarga yang menghantar video seperti ini.

“Saya tahu mereka semua adalah peminat dan penyokong yang bergurau untuk menceriakan hari saya, tapi kalau ada yang betul-betul patah hati, tolong maafkan saya,

“Insya-Allah saya akan tetap akan menghiburkan anda semua dalam projek yang akan datang,” katanya.

Melalui semakan Malaysiakini di ruang komen hari ini pula, pengikut Instagram Remy dilihat mengucapkan tahniah selain ada yang beranggapan pasti Tuanku dan Raja Permaisuri antara peminat aktor itu.

“Mesti Tuanku peminat Remy ni,” tulis pengguna akaun @lyaleyraa.

Namun, tidak kurang juga peminat yang meluahkan perasaan kecewa apabila aktor kesayangan itu sudah dimiliki orang.

“Tahniah bang. bahagiamu deritaku,” kata pengguna akaun @hvbelle.

Pengguna akaun @fatin_tyra108 pula berkata: “Komen-komen patah hati di sini really make my day. Korang ni, yang lepas tu biarkanlah bukan rezeki namanya, tahniah buat pasangan pengantin Remy Ishak dan pasangan.”