Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Enggan berpaling lagi, Tauke ucap selamat tinggal pada dunia hiburan

Biarpun dirinya tidak didakwa atas kes pemerdagangan manusia seperti dituduh sesetengah orang pada awal bulan ini, Tauke Jambu bertekad dengan pendiriannya sebelum ini untuk meninggalkan dunia hiburan yang diceburi sejak bertahun-tahun silam.

Kata pelawak itu, dia tidak bercadang mengubah pendirian meskipun tidak lagi terpalit dengan dakwaan menjadi bapa ayam selepas polis mengesahkan tidak akan mendakwanya di mahkamah.

“Saya tetap tinggalkan dunia hiburan. Sekali saya dah cakap A, begitulah maksud saya. Memang saya tak akan kembali lagi dalam dunia hiburan, insya-Allah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pemilik nama sebenar Zamratul Amri Zakaria itu sebelum ini pernah berkata, dia terkilan apabila dimaki, dihina dan dituduh bermacam-macam sehingga membuatkan dirinya tawar hati untuk terus berada dalam industri.

Semalam media melaporkan polis Negeri Sembilan memberitahu Tauke tidak akan didakwa di mahkamah selepas ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

Sebaliknya, kata polis, pelawak terbabit ditahan hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tauke, 45, berkata dia bersyukur apabila nama dan reputasinya kembali dibersihkan selepas dilemparkan pelbagai tohmahan dan caci-maki netizen yang beranggapan dia sememangnya bersalah.

Jangan cakap buruk pada orang

Katanya, manusia memang terlalu gemar menjatuhkan hukum tanpa usul periksa hingga mencemarkan maruah orang lain.

“Memang saya bersyukur selepas dibuktikan saya tak bersalah. Tapi saya amat sedih dan terkilan kerana masyarakat gemar membuat andaian sendiri.

“Paling lega adalah keluarga saya. Mereka sangat lega sebab tomahan dilemparkan bukan hanya pada saya tapi juga pada mereka.

“Apabila nama saya dah bersih, mereka tak perlu lagi menerima kecaman dan makian tersebut,” katanya.

Tauke berkata, sebelum ini sudah dinafikan berkali-kali bahawa dia bukan bapa ayam namun masih terdapat segelintir pihak yang tetap melemparkan tohmahan kepadanya.

Justeru, dia berpesan agar orang ramai segera menghentikan komen yang boleh memudaratkan.

“Hentikan fitnah dan komen tak elok bermula dengan diri sendiri. Caranya jangan sesekali bercakap buruk pada orang,” katanya.

Ditanya cara menjana pendapatan selepas ini, kata Tauke, dia percaya rezeki yang disediakan Allah amat luas dan masih boleh terus menjalankan kehidupan dengan baik biarpun tidak bergelar selebriti.

“Sekarang saya usahakan jual produk kecil-kecilan. Bagi yang berminat nak tahu lebih lanjut kunjungi Instagram saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS