Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jangan disebabkan kamu, kami tak boleh jalankan penggambaran'

“Jangan pasei (pasal) korang (kamu), kami pula tak boleh jalankan penggambaran,” demikian komen pedas Jinggo terhadap produksi yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil pelakon belum lengkap vaksinasi Covid-19.

Pengarah dan penerbit drama itu turut menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil tindakan sewajarnya terhadap produksi terbabit bagi mengelakkan kelonggaran diberikan kerajaan untuk penggambaran ditarik balik.

“Finas, tolong tangkap produksi tak ikut SOP, sebelum kemudahan kita ditarik balik. Boleh korang menganjing ye? Tak perlu ambil vaksin, ada saja produksi panggil (berlakon).

“Jika korang lepas tak apa, kalau tak lepas, bukan korang saja sangkut, JS Pictures dah nak mula penggambaran tahu tak?” katanya di Instagram hari ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya berkata, setiap pelepasan diberikan kerajaan diiringi SOP yang wajib diikuti.

Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab sesama produksi untuk mematuhi setiap syarat ditetapkan.

“Industri kita baru saja terima pelepasan dari kerajaan semalam, setiap kemudahan ada SOP, selagi kita ikut apa ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), selagi tu kita diberi kemudahan. Jika tidak, tak pasal-pasal kemudahan akan ditarik balik,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, pelakon veteran, Fauziah Nawi turut meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap isu sama didakwa membabitkan penerbit dan pengurus produksi (PM) yang mengambil pelakon belum lengkap vaksinasi untuk memulakan penggambaran.

Katanya melalui media sosial malam tadi, luahan itu dibuat bukan disebabkan cemburu atas rezeki orang lain sebaliknya kerana dia bimbang kelonggaran SOP penggambaran diberikan kerajaan ditarik semula.

Bahkan Fauziah, 68, menyifatkan tindakan pelakon itu sebagai menyusahkan penggiat seni yang lama berharap untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas beberapa bulan tidak dibenarkan terbabit aktiviti penggambaran.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan kelonggaran aktiviti hiburan hanya untuk individu divaksin sepenuhnya di semua negeri bermula esok termasuk persembahan seni, pawagam, penggambaran dalam dan luar studio.

Keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merangsang semula kegiatan ekonomi industri kreatif dan kesenian yang terjejas teruk ekoran pengekangan wabak.

Jinggo juga berkata, dia memahami sekiranya terdapat penerbit yang masih bingung memikirkan soal pelakon bagi meneruskan penggambaran sama disebabkan syarat mewajibkan aktiviti hanya dibenarkan bagi penerima lengkap vaksinasi.

Namun katanya, mereka perlu mengambil kira ‘penat lelah’ produksi lain mengikut garis panduan SOP yang ditetapkan.

“Saya faham kebanyakan penggambaran bersambung dan ada penerbit stuck in between jika ada antara artis mereka yang enggan divaksin. Namun mereka tetap perlu ikut SOP.

“JS Pictures misalnya akan mulakan penggambaran Roti Cicah Susu hujung bulan ni, sebelum tu produksi antaranya perlu bersusah payah susun jadual pelakon tapi tiba-tiba muncul sekatan disebabkan ada kes berlaku.

“Tidakkah tiba-tiba akibatnya penggambaran kami juga terpaksa dihentikan? Jika Finas ambil keputusan hentikan pengeluaran Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP) pula macam mana? Siapa nak jawab jika kami tak dapat jalankan penggambaran nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS