Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jangan bandingkan vokal Tajul dengan arwah Achik Spin
Diterbitkan:  Sep 27, 2021 5:48 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Meskipun teruja diberi peluang merakamkan semula lagu dendangan Achik Spin, Tajul Ariff berharap tiada pihak membanding-bandingkan vokal dimilikinya dengan Allahyarham abangnya itu.

Tajul berpendapat setiap penyanyi mempunyai kelebihan masing-masing dalam mempersembahkan nyanyian mereka dan itulah yang cuba disampaikan melalui nyanyiannya dalam Malam Semakin Dingin.

“Jangan bandingkan vokal saya dengan Achik, walaupun kami adik-beradik tentunya cara nyanyian dan kemampuan vokal kami berbeza. Apa pun saya memang sangat mengagumi vokal Achik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Tajul, idea merakamkan kembali lagu itu tercetus daripada permintaan peminat.

Pemilik nama penuh Tajul Ariff Noor Md. Shari, 23, itu juga mengakui Malam Semakin Dingin membawanya kembali kepada kenangan lalu bersama arwah yang cukup popular dengan lagu tersebut.

“Lagu tu tiba tiba meledak, Malam Semakin Dingin hangat ditularkan di laman sosial.

“Kemudian timbul banyak permintaan yang mahu saya nyanyikan semula lagu yang pernah didendangkan oleh Allahyarham Achik tu,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyanyikan lagu berkenaan, Tajul berkata, sewaktu proses rakaman, timbul rasa sebak dalam hati kerana merindui Achik.

“Walaupun sewaktu hayat Achik kami tak la terlalu rapat kerana jarang berjumpa sebab arwah sibuk dengan kerjaya seninya.

“Apa pun saya bersyukur dan gembira kerana dapat nyanyikan semula lagu abang saya,” katanya.

Untuk rekod, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shaari meninggal dunia dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) pada 18 April 2010.

Lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S dinyanyikan semula secara duet bersama Afieq Shazwan.

Namun, anak ke sepuluh daripada 10 adik beradik itu mengakui ketika pihak syarikat rakaman mengatur perancangan untuk projek berkenaan, timbul perasaan khuatir.

“Sejujurnya saya agak gementar bila FMC panggil untuk bincangkan tentang lagu ni, tetapi bila encik Ho cakap akan diduetkan dengan Afieq, saya lega dan bersetuju,” katanya.

Dirakam berulang kali

Sementara itu, Afieq, 24, mengakui dapat menyanyikan semula lagu nyanyian kumpulan Spin sebagai satu penghargaan buat Allahyarham Achik.

Katanya, asalnya dia hanya nyanyi (cover) lagu berkenaan dan memuat naik di TikTok dan Facebook.

“Namun, Alhamdulillah jumlah tontonan memberangsangkan. Di Facebook saja mencecah setengah juta tontoan dan banyak komen yang minta saya buat versi penuh," katanya.

Menurutnya, proses rakaman pula dilakukan berulang kali dan secara berasingan.

“Saya suka sebenarnya lagu macam ni, inilah diri saya . Sebelum ni dalam pertandingan dan program realiti yang saya sertai, saya tak berpeluang nyanyikan lagu–lagu sebegini.

“Saya sangat berpuas hati sebab dapat meluahkan dan menyanyi mengikut feel 90-an. Bukan 'terciduk' cara Achik menyanyi, tapi saya menghormati lenggok Melayu yang dinyanyikan penyanyi asal.

“Jika dengar lagu-lagu era 90-an, cara nyanyian mereka berbeza dengan penyanyi masa kini. Harapan saya semoga pendengar dapat terima lagu Malam Semakin Dingin dalam nafas baru versi 2021 ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS