Hanya muat naik imej bersama jika berhijab - Caprice
Enggan isterinya bertudung kerana terpaksa, penyanyi rap Caprice berkata, biarlah keputusan menutup aurat itu dibuat kerana Allah SWT.
Kata Caprice, bukan tidak pernah memberikan teguran, cuma dia memohon netizen agar memahami proses berhijrah itu mungkin akan memakan masa.
Tambahnya, dia sudah pun meletakkan isterinya itu dalam situasi yang tidak pernah didepaninya sebelum ini iaitu berada dalam kehidupan bersama suami yang juga selebriti serta sering menjadi perhatian ramai.
“Soalan ni ramai Direct Message (DM) dan komen, tak nak tegur bini (isteri) ke? Percayalah, saya sudah (menegur). Tapi saya tak mahu memaksa kerana saya juga mempunyai kekurangan.
“Saya tak mahu dia berubah kerana saya, netizen atau orang ramai. Saya mahu dia berubah kerana Allah.
“Situasi sekarang sudah pun sukar sejak saya ‘mencampaknya’ ke dalam dunia selebriti dan kehidupan yang mengundang perhatian ramai, tapi insya-Allah, saya harap dia akan berubah suatu hari nanti @farra_inalis,” tulisnya di Instagram sebentar tadi.
Menurut pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu, dalam proses untuk menjadi seorang suami yang baik, dia ada memberi contoh nama beberapa selebriti yang sudah pun menukar imej mereka kepada wanita Muslimah.
“Sejak kebelakangan ni, Cap (gelaran untuk Caprice) bagi dia banyak contoh artis seperti Zizi Kirana, Fazura, Izara, untuk memberi inspirasi dan membakar semangatnya bertudung.
“Insya-Allah, saya hargai mana-mana pihak yang DM, dan saya akan cuba jadi suami dan ayah yang terbaik,” katanya.
Caprice tiba-tiba mengumumkan khabar dirinya sudah selamat bergelar suami kepada Farra Inalis pada 16 November lalu.
Wanita pilihan Caprice itu adalah ibu tunggal anak satu berumur 26 tahun.
Sempat bergurau, Cap, 33, turut menjelaskan kepada Farra mengapa sejak kebelakangan ini dia jarang memuat naik imej mereka berdua di akaun media sosialnya itu.
Secara berseloroh, Caprice menyambung cerita, mujur, jawapannya tidak menyebabkan dia terpaksa tidur di sofa malam itu.
“Baru semalam kami gaduh sikit sebab dia persoal kenapa saya jarang muat naik gambar dengan dia di akaun utama Instagram saya.
“Saya beritahu, hanya satu cara untuk muat naik gambar bersama-sama iaitu jika dia berhijab.
"Nasib baik tak tidur di sofa,” katanya yang mengiringi hantaran itu dengan emoji ketawa.

