Lagu berjudul Kita Di Sisimu (Together As One) dicipta sebagai memberi inspirasi buat rakyat negara ini menjiwai semangat Keluarga Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, usaha sedemikian mendapat sokongan agensi itu kerana kerja-kerja sukarelawan mencerminkan budaya dan moral rakyat negara ini yang suka membantu antara satu sama lain.
“Saya amat berbangga melihat tindakan pantas artis-artis tempatan yang memberi bantuan secara kolektif kepada mangsa-mangsa banjir dengan menggunakan bakat dan pengaruh mereka.
“Sebagai salah sebuah badan kerajaan utama dalam industri kreatif yang turut berkhidmat di kawasan-kawasan terjejas bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir, Finas menyokong segala usaha seperti ini.
“Ia menyuntik semangat moral ketika negara sedang menghadapi pelbagai musibah,” katanya semasa pelancaran lagu itu di Mega Star Arena, Cheras semalam.
Untuk rekod, lebih daripada 30 buah persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bernaung di bawah Rescue Union bagi melancarkan lagu tema usaha menyelamat mangsa banjir dan video muzik berjudul Kita Di Sisimu.
Usaha itu turut menampilkan lebih 15 selebriti yang terdiri dari kalangan bangsa Cina, Melayu serta India dengan tujuan menginspirasikan keharmonian berbilang kaum.
Kita Di Sisimu diterbitkan oleh pelakon Lenny Ooi yang dikenali melalui filem Mrs K.
Antara yang dipaparkan dalam video muzik itu ialah pengacara radio Jack Lim, model Sunshine Aileen Devi Eric, pelakon Jack Lim dan Billy Ng serta pelakon dan model sambilan, Puteri Lili Ayumi.
Video muzik Kita Di Sisimu memaparkan rakaman mangsa banjir serta artis yang tampil secara sukarela membersihkan kawasan terjejas.
Pada masa sama, Zakaria berkata, dia percaya seni dan hiburan juga merupakan satu bentuk motivasi yang mampu memupuk semangat kebajikan dalam setiap insan selain memberi inspirasi kepada bakal sukarelawan akan datang.
“Saya berharap penerbit kandungan kreatif atau penghasil kandungan di Malaysia mengikut jejak langkah selebriti-selebriti ini yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti seumpama ini, supaya amalan sebegini dapat diteruskan, terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Rescue Union, John Yap berkata, lagu itu bertujuan menyeru mangsa banjir agar tidak berputus asa dalam menempuh cabaran selain mengingatkan mereka bahawa “selepas ribut, datang pelangi.”
Katanya, ia bertujuan untuk menggalakkan rakyat untuk bersama-sama membantu mangsa banjir pulih daripada bencana ini sama ada melalui sumbangan kewangan atau kerja sukarela.
“Saya berharap melalui inisiatif ini kita dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka memulihkan rumah yang terjejas akibat bencana itu,” katanya.
