Penyanyi Usop akhirnya selamat bernikah dengan gadis pilihannya, Nur Fatihah Md Hashim di Pulau Pinang hari ini.
Acara akad nikah itu disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Harun Idris, dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Md Hashim Nordin.
Abang Nur Fatihah, Muhammad Firdaus, pula menjadi saksi bersama bapa Usop, Mohd Noor Ismail.
Majlis itu diadakan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Penaga.
Sebanyak sembilan dulang menjadi hantaran daripada pihak perempuan dan ia berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki. Mas kahwin pula sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan sebagai pengiring.
Usop atau nama sebenarnya Muhamad Saiful Naim Mohd Noor dan Nur Fatihah mengikat tali pertunangan pada 4 Nov tahun lalu.
Berkongsi kisah percintaan mereka, Usop dan Nur Fatihah berkata, mereka berkenalan lebih dua tahun sebelum hubungan tersebut dilanjutkan kepada ikatan pertunangan.
Untuk rekod, Nur Fatihah berkhidmat sebagai kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat Pulau Pinang dan membuat kerja sampingan iaitu berniaga barangan kosmetik.
Tak nak terburu-buru
Menurut Usop, 24, walaupun usianya agak muda, dia tetap berharap dapat membimbing dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami sebaik mungkin.
“Saya ingin menjadi suami yang terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan,” katanya.
Bagaimanapun mengenai zuriat, penyanyi Selamanya itu berkata mereka tidak ingin terburu-buru.

“Saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba, tapi buat masa ini fokus kami berdua ialah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya,” katanya.
Usop juga berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke anak cucu.
Majlis bagi pihak perempuan akan berlangsung pada malam ini dan majlis resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan pada 13 Feb di Kulim Kedah.
