Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noor Nabila sedih anak Melayu tak fasih berbahasa Melayu

Noor Nabila mengakui dia berasa sedih melihat ramai pelajar Melayu yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris dan gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik apabila bertutur.

Bagi kakak Neelofa itu, adalah sesuatu yang “pelik” sekiranya terdapat pelajar Melayu tidak fasih berkomunikasi - malah lebih teruk menolak - menggunakan bahasa kebangsaan untuk berurusan sehari-hari.

Katanya, bahasa Melayu tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang asing bagi bangsa Melayu.

“Apabila jumpa orang Melayu yang memang muka Melayu (tak ada darah campuran) tapi cakap Melayu ada slanga atau tak fasih, saya rasa sedih.

“Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda kita. Kalau bangsa Melayu tak fasih bertutur bahasa sendiri, apabila bergaul ia akan nampak pelik,” jelasnya.

Justeru Noor Nabila berkata, sebagai ibu dia enggan melihat perkara sama berlaku kepada anaknya, Jebat Jayden, apabila kanak-kanak itu sudah besar nanti.

Katanya dia mahu Jebat Jayden benar-benar fasih bercakap Melayu. Jika anaknya itu mampu maju selangkah lagi dengan menguasai loghat Kelantan, ia akan dianggap bonus.

Noor Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi bertemakan Disney pertama Naelofar The Little Mermaid di Petaling Jaya hari ini.

Cakap Kelantan, Pulau Pinang

Untuk rekod, Noor Nabila berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 namun pasangan itu bercerai tiga tahun kemudian.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia empat tahun.

Noor Nabila kemudian sekali lagi bergelar isteri apabila diijabkabulkan pada 19 Mac tahun lalu dengan usahawan Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Dia turut bercerita mengenai pengalaman bersama adiknya, Faliq Khan, yang menggunakan bahasa Melayu di rumah tetapi menunjukkan perubahan mendadak apabila mula bersekolah.

Selepas bersekolah, katanya, Faliq asyik berbahasa Inggeris sehinggakan kini dia tidak mahu bercakap dalam bahasa Melayu langsung sekarang.

“Kalau diikutkan, saya dan anggota keluarga lain semua guna bahasa Melayu saja di rumah.

“Jadi, saya tak nak Jebat jadi orang Melayu yang boleh berbahasa Inggeris tapi tak tahu berbahasa Melayu,” katanya.

Ditanya pandangan Sharnaaz mengenai hal itu, Noor Nabila berkata, bekas suaminya juga senada malah berharap Jebat boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Malah, katanya, ketika ini fasa membesar dilalui Jebat menjadi perkara paling indah dapat dikongsikan bersama.

“Dia (Jebat) sangat petah bercakap sebab Sharnaaz selalu bersembang dengan dia... dah macam cakap dengan orang dewasa. Ni fasa yang sangat menyeronokkan.

“Saya biasa cakap Kelantan manakala Sharnaaz bercakap Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, mengulas soal tambah anak dengan Engku Emran, Noor Nabila berkata, dia tidak menolak rezeki jika ditakdirkan bilangan anggota keluarga mereka bertambah.

“Memang ada terfikir untuk tambah anak. Saya dan suami tak tolak rezeki malah kami juga sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS