Selebriti yang selalu mengundang kontroversi, Azwan Ali, menuntut baki bayarannya sebagai pengacara Mic On! dari stesen Awesome TV selepas dia digugur serta-merta daripada program berkenaan.
Melalui kenyataan yang dibuat di Instagram, Azwan atau sinonim dengan panggilan Diva AA itu berkata, dia bercadang untuk melaporkan isu itu kepada pihak polis.
Dia juga 'berikrar' untuk tidak lagi bekerjasama dengan stesen TV berkenaan.
“Tiada lagi Awesome TV untuk seumur hidup saya. Kalau tak bayar dalam masa tertentu, ia akan jadi kes polis,” ujarnya.
Semalam, pihak pengurusan Awesome TV membuat keputusan saat akhir apabila bertindak menggugurkan nama Azwan daripada menjadi pengacara Mic On!.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Adam Ilyas, pihaknya tegas untuk mengambil tindakan apabila berlaku sebarang isu pelanggaran integriti.
Menurut Azwan, dia tidak hairan dengan tindakan Awesome TV kerana percaya rezeki ada di mana-mana sekalipun tidak lagi berkhidmat untuk mereka.
“Dengan tindakan mereka tu, besar hama pun saya tak hairan dan pandang kerana saya percaya dengan rezeki.
“Saya di pihak yang benar dan kifarah akan menyusul.
“Jangan sesekali menganiaya anak yatim piatu seperti saya, buruk padahnya!” katanya.
