Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
13 tahun jadi Upin dan Ipin, Asyiela belum sedia berundur

Menjadi artis yang meminjamkan suaranya untuk watak utama Upin dan Ipin selama 13 tahun bukan tugas yang mudah, namun Asyiela Putri Azhar mengakui dia puas melalui pengalaman turun dan naik bersama siri animasi berkenaan.

Katanya, memang pada peringkat awal dia langsung tidak terfikir untuk membawa peranan sebesar itu, tetapi tidak pula dia mahu melepaskan peluang yang jatuh ke riba.

“Semasa awal-awal jadi pelakon suara, saya tak tahu sama ada boleh bawa atau tidak sebab tak ada jangkaan dapat melangkah sejauh ni.

“Tapi apabila dah cuba dan rasai pengalaman baru, saya dapati ia sangat menyeronokkan.

“Memang sukar namun tempoh tu hanya sementara dan saya pada setiap masa sentiasa mengasah kemahiran untuk teknik mengubah suara,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran seperti sakit tekak gara-gara menghasilkan suara serta menghidupkan watak Upin dan Ipin, Asyiela Putri tidak pernah berasa bosan.

Dia malah berkata, setakat ini belum bersedia untuk meletakkan tanda noktah pada kariernya yang semakin berkembang itu.

“Selagi boleh, insya-Allah, saya akan terus menjadi nadi utama Upin dan Ipin. Rasa nak berhenti tu, setakat ni tak ada.

“Syarikat Les Copaque juga amat memahami terutama saya yang masih menuntut ketika ini dalam jurusan pengiklanan di Universiti Multimedia.

“Saya hanya diberikan tugas seminggu dua kali. Mereka akan cuba sesuaikan masa bekerja dengan jadual saya,” katanya.

Tak sangka perempuan

Untuk rekod, Asyiela Putri menjadi artis ubah suara bagi watak Upin sekali gus Ipin sejak dia berusia lapan tahun.

Ditanya mengenai peminatnya yang jauh hingga ke seberang laut, Asyiela Putri berkata, dia tidak menyangka itulah rezekinya kerana beranggapan artis ubah suara dalam industri mungkin kurang dikenali.

Katanya, populariti itu membuatkan dia terharu kerana ada peminat yang mahu mengambil tahu mengenai artis di belakang tabir sepertinya.

“Alhamdulillah, inilah rezeki paling besar buat saya dan keluarga kerana bukan saja diminati di Malaysia, malahan sampai ke Indonesia.

“Mereka sampai buat carian mengenai diri saya di Instagram. Saya juga terima komen bahawa peminat tak menyangka pembawa watak ubah suara untuk Ipin dan Ipin ialah perempuan malahan berambut panjang pula.

“Selain tu, ada juga mereka beranggapan, artis ubah suara Upin dan Ipin adalah dua orang yang berbeza,” katanya.

Lihat Komen
ADS