Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bila PAS ajak tengok wayang…
Diterbitkan:  Jun 24, 2022 4:02 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Amanah menyindir PAS kerana mengajak orang ramai ke panggung wayang bagi menyokong filem patriotik terbaru Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan sutradara terkenal Syamsul Yusof.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan berkata parti itu keliru dan hilang punca kerana mereka dulu yang menentang pembukaan pawagam di Kelantan.

“Maka jelaslah PAS adalah sebuah parti yang kluk klek (tak tetap pendirian) dan tidak memahami  industri seni negara,” kata Hazmi dalam kenyataannya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Pada 18 Mei lalu, PAS melalui media sosialnya mengetengahkan filem berkaitan penentangan tokoh pejuang kemerdekaan Mat Kilau dalam melawan penjajah Inggeris.

“Akan mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 di seluruh pawagam. 

“Sudahkah anda bersedia?” soal PAS di Facebook.

Bagaimanapun terdapat komen sinis yang mempertikaikan ajakan itu memandangkan Kelantan, negeri paling lama diperintah PAS, tidak mempunyai panggung wayang.

Filem itu membariskan pelakon terkenal seperti Adi Putra (Mat Kilau), Fattah Amin (Awang), Beto Kusyairi (Wahid), Ali Karimi (Brahim), Johan Asari (Yassin) dan Yayan Rujian (Toga) dari Indonesia.

Filem yang mula ditayangkan semalam itu mengetengahkan perjuangan Mat Kilau bersama ayahnya To Gajah melawan penjajah di Pahang sekitar penghujung tahun 1800.

‘Kononnya tempat maksiat’

Sementara itu, Hazmi berkata PAS prejudis kepada rakyat Kelantan dengan memperlekehkan rakyatnya sendiri kononnya pawagam itu “tempat maksiat”. 

Hazmi Hassan

“Sedangkan rakyat ke pawagam bukanlah untuk membuat maksiat, tetapi ia aktivi berkeluarga dan pada masa yang sama boleh menyokong industri perfileman negara,” katanya.

Pada Mac 2019, Ahmad Yaakob–menteri besar Kelantan merangkap timbalan mursyidul am PAS–berkata tiada keperluan untuk Kelantan mempunyai panggung wayang kerana perkembangan pesat media sosial sudah memberikan kepuasan hiburan kepada rakyat.

Exco kerajaan tempatan Kelantan Izani Husin pula berkata sudah 30 tahun Kelantan tidak mempunyai panggung wayang namun tiada masalah kerana ada pelbagai medium lain untuk menonton filem.

Menolak saranan BN, katanya, syarat ketat boleh dikenakan kepada pengusaha panggung wayang namun “masih ada ruang terbuka yang boleh mengundang kepada gejala sosial”.

Lihat Komen
ADS