Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemuda PAS masuk pawagam di KL tonton 'Mat Kilau'
Diterbitkan:  Jun 27, 2022 2:01 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Pemuda PAS menjawab kritikan mengenai pengharaman pawagam di Kelantan dan pemisahan penonton wayang berdasarkan jantina di Terengganu.

Ini selepas parti itu dikritik kerana 'tidak semena-mena' mengajak orang ramai menonton filem sejarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Pemuda PAS menjelaskan sekiranya filem yang ditayangkan itu mempunyai barisan pelakon yang menutup aurat dan penonton yang menjaga batas serta jalan cerita tersebut tidak menjurus kepada maksiat, ia tidak dianggap haram.

“Kita tak setuju buka panggung wayang dibuka dekat Kelantan, selagi panggung wayang tu tak selesaikan bab-bab yang kita sebut tadi, bab yang bawa kepada haram tengok wayang.

Gambar hiasan.

“Kalau panggung wayang tu boleh asingkan tempat duduk lelaki perempuan dan keluarga, boleh set tiada tayangan semasa waktu solat, boleh pastikan cerita yang ditayang betul-betul patuh syariah, tak ada masalah. Kita pun setuju.

“Tengok Terengganu. Ada je panggung wayang. Dekat sana semua panggung wayang diasingkan tempat duduk lelaki? perempuan dan keluarga. Dekat sana tiada cerita ditayangkan semasa waktu solat, ada Pemuda PAS bantah? Kita raikan lagi,” kata sayap parti PAS itu pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan, pada 24 Jun menempelak PAS kerana tidak tetap pendirian selepas mengajak orang ramai ke panggung wayang untuk menonton filem terbaru garapan pengarah terkenal Syamsul Yusof.

Ini kerana menurut Hazmi (gambar, bawah), PAS seperti keliru dan hilang punca kerana mereka dulu mengharamkan pembukaan pawagam di Kelantan.

Pun begitu, Pemuda PAS dalam kenyataannya hari ini menjelaskan mereka membeli 20 tiket khusus penonton lelaki untuk menyaksikan tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di pawagam di Kuala Lumpur.

“Oh habis tu masa tengok cerita Mat Kilau dekat KL, tak ada campur lelaki perempuan ke?”

“Kami beli 20 seat bang. Semua lelaki. Tak ada siapa duduk sebelah perempuan. Abang pun, tanya lah dulu sebelum kecam,” kata Pemuda PAS.

Pada 18 Mei lalu, PAS melalui media sosialnya mempromosikan filem berkaitan penentangan tokoh pahlawan Pahang Mat Kilau dalam melawan penjajah Inggeris.

“Akan mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 di seluruh pawagam.

“Sudahkah anda bersedia?” soal PAS di Facebook.

Lihat Komen
ADS