Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon yang membawa watak Captain Syers dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Geoff Andre Feyaerts, mungkin suatu nama asing dalam industri perfileman tanah air.

Bagaimanapun anak kelahiran Belgium itu sebenarnya sudah lama menetap dan memulakan kariernya sebagai pelakon di negara ini sejak 2007.

Feyaerts berkata dia mula berhijrah ke Malaysia selepas menyertai sebuah program anak angkat di Negeri Sembilan.

Menerusi program itu katanya, dia jatuh hati dan berkenalan dengan seorang wanita Melayu, sebelum akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.

“Saya datang ke Malaysia untuk menyertai program angkat antara budaya Malaysia. Saya diterima oleh sebuah keluarga angkat di Pedas, Negeri Sembilan.

“Selepas tu saya mengenali isteri dan akhirnya kira-kira setahun kemudian kami berkahwin di sini. Alhamdulillah, sekarang dah 15 tahun saya menetap di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem itu di Petaling Jaya baru-baru ini.

Justeru kata Feyaerts, tujuannya berhijrah ke Malaysia pada awalnya adalah kerana ingin ‘mencari’ wanita Melayu.

“Saya datang nak cari perempuan,” katanya berseloroh.

Ditanya pembabitannya bagi menjayakan filem arahan Syamsul Yusof itu, Feyaerts berkata, dia bersyukur, kerana filem tersebut menerapkan dan mengangkat budaya Melayu.

“Masih banyak negara Islam dijajah, jadi saya harap filem dihasilkan anak tempatan seperti Mat Kilau berpeluang ditonton penduduk di Eropah misalnya.

“Malaysia harus berbangga dengan filem dihasilkan anak tempatan seperti Mat Kilau ni. Saya harap mereka dapat bawa semangat kemelayuan tu hingga ke luar negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS