Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Apa guna mengundi jika pilihan pengundi tak dihormati ahli politik?'
Diterbitkan:  Jul 4, 2022 2:44 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Pelakon Diana Danielle berkata dia tidak lagi peduli politik kerana pilihan pengundi tidak dihormati oleh ahli politik.

Dia berkata demikian melalui ciapan balas hantaran Twitter Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mengingatkan orang ramai bahawa menolak politik akan menyebabkan masa depan anak-anak ditentukan oleh ahli politik yang korup.

"Saya menolak (politik) kerana tidak kira siapa yang saya undi, ada pintu belakang, pintu sisi, pintu berputar, pintu kecemasan, dan pintu Narnia yang dipenuhi dengan mereka yang tidak saya undi, mengambil alih kerajaan dan membenarkan samseng masuk.

"Jadi apa gunanya?" katanya melalui platform media sosial itu.

Malaysia telah menyaksikan tiga pertukaran kerajaan dalam tempoh empat tahun lalu berikutan rampasan kuasa politik dan lompat parti.

Putrajaya dan parlimen menyasarkan untuk menyelesaikan perkara itu dengan memperkenalkan undang-undang antilompat parti yang akan dibahaskan akhir bulan ini.

Bagaimanapun, undang-undang dalam bentuk cadangan semasa, tidak akan menghalang seluruh parti daripada menukar keberpihakan, seperti yang dilakukan oleh Bersatu semasa Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagi Diana, yang mengundi pada pilihan raya lalu, bentuk sistem politik ketika ini cacat.

"Sistem ini sengaja dibuat untuk kekal cacat. Untuk memanfaatkan satu peratus yang memegang 99 peratus kuasa," katanya.

Dia juga berkata bahawa kemajuan tidak boleh dicapai jika mereka yang berkuasa dibiarkan terlepas daripada salah laku.

"Apakah kemajuan yang boleh dicapai jika mereka yang berkuasa melakukan sabotaj dan merosakkan keseluruhan sistem kemudian memanipulasinya?" katanya.

Pengkritik sistem pilihan raya negara telah menegaskan bahawa satu kelemahan utama ialah sistem first-past-the-post (FPTP) yang diamalkan ketika ini. Berdasarkan sistem itu, pemenanga tidak memerlukan majoriti dan hanya perlu meraih undi terbanyak.

Ia dilihat telah menguntungkan BN, seperti berlaku dalam pilihan raya nergeri (PRN) Melaka dan Johor. Walaupun mendapat undian lebih 45 peratus undi popular, BN mampu memenangi lebih 66 peratus kerusi dan membentuk majoriti besar dalam kerajaan negeri.

Ini disebabkan pertembungan berbilang penjuru yang memecahundi, dan hasilnya lebih 60 peratus pengundi tidak diwakili secukupnya.

Perlu diingat bahawa PH Harapan juga mendapat manfaat daripada pertembungan berbilang penjuru di bawah FPTP, dan membentuk kerajaan pada 2018 walaupun hanya memenangi 45.68 peratus undi popular.

Sebuah suruhanjaya pembaharuan pilihan raya di bawah kerajaan PH telah mencadangkan untuk menggantikan FPTP dengan perwakilan berkadar (PR) atau sistem senarai parti (party-listing), yang akan memastikan mereka yang dipilih menjadi wakil rakyat adalah berkadaran dengan jumlah undi yang mereka terima.

Bagaimanapun, ini tidak pernah dilaksanakan dan nampaknya tiada tanda-tanda bahawa wakil rakyat ketika ini berminat untuk mendesak pelaksanaannya dalam masa terdekat meskipun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin hampir.

Bagi Diana pula, selebriti itu nampaknya sudah muak dengan politik tempatan, sekurang-kurangnya buat masa ini.

"Saya tidak mencari pendapat kedua - saya menyatakan mengapa saya sudah tidak lagi mahu peduli dengan politik sebagai bukan siapa-siapa, rakyat yang mempunyai hak yang disalahgunakan oleh mereka yang tidak diberikan kuasa oleh kita pengundi.

"Jadi secara peribadi saya tidak lagi peduli. Jika anda masih peduli, itu terpulang kepada anda," katanya sebagai respons kepada seorang pengguna media sosial yang mengkritik pendiriannya.

Lihat Komen
ADS