Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas dikatakan menjana kutipan jualan tiket lebih RM80 juta, akhirnya filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan buat penduduk Kelantan yang kini tiada kemudahan panggung wayang.

Tayangan tersebut menjadi kenyataan hasil inisiatif diambil Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang mewujudkan 'pawagam khas' untuk membawa filem arahan Syamsul Yusuf itu.

Tidak seperti tayangan biasa, persembahan malam tadi dibuka kepada umum secara percuma dan diadakan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Melor, Kota Bharu.

Tinjauan Malaysiakini di program malam patriotik dan tayangan tertutup filem bergenre sejarah itu mendapati rata-rata penonton merupakan pimpinan akar umbi Umno Kelantan bersama ahli keluarga masing-masing.

Dianggarkan lebih 1,000 orang hadir untuk melihat Mat Kilau garapan Syamsul berkenaan.

Beberapa penonton yang ditemui Malaysiakini menyatakan rasa teruja mereka kerana berpeluang menyaksikan filem pecah panggung itu di negeri sendiri.

Malah ada dalam kalangan mereka yang mengaku tidak pernah menonton filem di pawagam sepanjang hayat.

Alias Ismail, 62, dari Umno cawangan Kampung Binjai, berkata kali terakhir dia menonton filem di pawagam Kota Bharu ialah pada 1982.

Justeru sempena tayangan kisah Mat Kilau hasil usaha Annuar itu, katanya, dia teruja untuk hadir lebih-lebih lagi filem yang mengkisahkan tokoh pahlawan tanah air.

"Jadi saya ambil kesempatan ini untuk hadir menonton. Sebagai bekas tentera, filem sebegini memang saya sukai.

"Saya sangat berterima kasih kepada penganjur kerana membuat tayangan ini memandangkan di Kelantan tidak ada pawagam, peluang begini belum tentu ada lagi selepas ini," katanya.

Guna peluang yang ada

Seorang lagi pesara tentera Che Mohd Lazim Salleh, 55, berkata kali terakhir dia menonton filem di Kelantan juga pada 1980-an sebelum kerajaan negeri tidak lagi membenarkan pembukaannya hingga kini.

"Memang sangat lama tak tengok wayang. Dulu dalam perkhidmatan (tentera) pun tak ada kesempatan dan saya banyak merantau kerana tugas.

"Saya tiada masalah di Kelantan tak ada pawagam sebab sekarang kita boleh tonton filem melalui pelbagai cara atas talian dan televisyen berbayar.

"Malam ini saya hadir tonton filem Mat Kilau kerana ramai mengatakan ia sebuah filem yang bagus hingga mendapat sambutan luar biasa. Jadi saya tak lepaskan peluang ini," katanya yang merupakan ketua Umno Cawangan Kampung Wakaf Stan, Kota Bharu.

Sementara itu bagi warga emas yang mahu dikenali sebagai Kak Nah, 68, berkata sepanjang hayat dia tidak pernah menonton filem di mana-mana pawagam.

Kesempatan tayangan khas itu katanya diambil untuk merasai sendiri suasana menonton filem di pawagam walaupun hanyalah di dalam dewan terbuka yang diubah suai.

"Memang tak pernah masuk panggung wayang dan saya pun tak berminat sangat.

"Cuma apabila filem Mat Kilau ini saya rasa teruja sebab ini filem kisah tokoh bersejarah negara. Jadi saya gunakan peluang ini," katanya.

Sementara itu Annuar berkata dia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), penerbit, dan pihak-pihak yang terlibat dengan memberi keizinan istimewa terhadap tayangan itu.

Kata ahli parlimen Ketereh itu lagi, tayangan yang diadakan malam tadi menjadikan ia satu-satunya tayangan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dibuat di luar pawagam sebenar setakat ini.

"Saya sendiri jarang tengok wayang, ini satu-satunya (filem) yang sangat menyentuh hati dan mesej yang sangat baik kepada rakyat dan masyarakat," katanya dalam ucapan ringkas sebelum tayangan bermula.

Annuar juga berkali-kali mengingatkan para penonton agar tidak membuat sebarang rakaman yang menyalahi undang-undang.

Selain itu, program itu dimulakan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk Wira Melayu yang disampaikan Setiausaha Persatuan Penulis Kelantan Abdul Hadi Yusoff.

Lihat Komen
ADS