Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Ghaib: Karya Faisal Tehrani perlu dilihat dengan mata hati

Mengkritik karya Faisal Tehrani ibarat meletakkan leher untuk dipancung. Antara penulis mampan masa kini, Faisal berada jauh di depan dan saya hanya pengembara sastera yang menapak di belakang. Saya sangat terbuka menangkap karya penulis hebat ini meskipun pernah timbul kontroversi. Bagi saya kontroversi itulah mendarjatkan seseorang karyawan.

Pengalaman saya, hampir menolak tawaran berlakon untuk sebuah filem. Perasaan ingin tahu siapa penulis skenario filem itu sangat tebal, sehingga saya mensyaratkan melihat skrip dulu, untuk membuat keputusan menerima tawaran tersebut.

Membaca skrip filem “Mariam Dari Pagi Ke Malam” saya jadi teruja. Karya Faisal Tehrani itu menikam jantung saya. Di set penggambaran Faisal telah menambah derita saya.

“Abang rasa siapa Anjang ini? Apa hubungan dengan Mariam?”

Saya terdiam, hanya air mata yang menjawab soalan itu. Sebelum ini tak seorang pun penulis skrip membawa pedang keintelektualannya datang hendak memotong leher pelakon seperti saya. 

Anjang adalah watak seorang pengasuh (butler) yang diberikan kepada saya. Diskusi singkat itu berakhir dengan peluk hormat seorang penulis besar kepada seorang pelakon kecil, di set penggambaran yang dipenuhi oleh pemain-pemain industri yang muda lela. 

Kepengarangan Faisal Tehrani bertalu-talu memukul keinginan saya untuk tahu lebih banyak hasil pemikiran beliau. Teater Ghaib datang ketika saya masih merasai kelazatan “Perempuan-perempuan Kampong Baru”

Teater “Ghaib” bagi saya tidak ghaib. Pemikiran Faisal Tehrani dalam karyanya itu perlu dilihat dengan mata hati. Pasti dapat menangkap tentang cinta buta, tentang penunggang agama, tentang kelicikan, tentang pengikut yang fanatik, semuanya jelas. Motif besar yang disampaikan iaitu untuk memahamkan tentang kebenaran hakiki juga dirasai. Penonton yang ada kekuatan minda akan dapat menikmati sajian yang lazat ini.

Paling jelas, naskah ini berhujah tentang fahaman agama. Manusia disesatkan oleh pelbagai hujah tidak kukuh tentang fikah dan tauhid. Sebahagian cerdik agama lebih suka berhujah tentang Salafiah. Terkadang pula menyelewengkan pemahaman tentang sunnah. Lebih buruk lagi seolah-olah amalan sunnah itu wajib. Agama jadi payah, padahal Islam itu sangat mudah dan indah. Tidak kurang juga yang menjadikan agama sebagai kuda tunggangan untuk mencapai tujuan peribadi. 

Faisal Tehrani bercerita tentang seorang ibu menyimpan banyak rahsia (ghaib). Tentang isteri yang hebat tapi suami yang disanjung. Tentang isteri yang setia memberi seluruh jiwanya, meskipun dia tahu tentang skandal suaminya. Tentang ibu yang menahan derita batin, tanpa mahu mendedahkan keburukan ayah mereka demi kebahagiaan anak-anak. 

Mencabar penonton

Keberanian Faisal Tehrani mengungkapkan semua ini menjadi wajar, kerana melihatkan kekalutan dalam masyarakat sekarang. Seolah-olah Islam tidak mendidik penganutnya menjadi insan kamil, asas kepada keluarga bahagia. Padahal Islam itu telah sempurna diwariskan oleh nabi. Naskah Ghaib bercerita tentang ini. Tentang kebenaran yang menjadi log-line di akhir babak.

Saya bersetuju dengan Lenny Erwan bahawa teater ini sangat mencabar penonton untuk kekal di tempat duduk. Fasyali Fadzly selaku pengarah teater ini memilih satu teori yang seingat saya belum pernah ada di Malaysia (atau saya terlepas pandang aliran seperti ini). Pengucapan dialog berlaku secara serentak oleh semua pelakon dalam sebuah rumah tiga set, ruang tamu, perpustakaan dan dapur.

Saya tidak terganggu dengan teori tersebut. Ia mengajar untuk memberi tumpuan 200 peratus, agar pesan pesan penting dalam naskah tidak cicir dari pendengaran.

Di Indonesia saya terbiasa dengan pelbagai aliran teater. Saya pernah menonton teater tanpa dialog produksi Joko Bibit Santoso di Solo, yang kemudian saya bawa beliau pentaskan di Pahang. Teater di atas pokok dan teater di tempat buang sampah. 

Di Jogjakarta sudah pernah ada teater seperti Ghaib. Rendra pernah melakukannya bersama pelakon dan sutradara terkenal Ken Zuraida. Teater surealis ini konsepnya beragam. Ada teater gerak, teater mini kata dengan tekanan utama  pada keaktorannya. 

Fasyali tidak salah memilih pelakon untuk mengangkat naskah yang besar ini. Semua permainan seimbang malah sangat matang. Zera Hariz (Suriram), Fadhli Masoot (Isa), Nesa Idrus (Tengku Maimunah) dan Kirin Muhamad (Abraham) memberikan zat paling maksimum. Gelora hati Qayyimah (Jun Lojong) mengunci semua mulut penonton supaya tidak bercakap sepatah pun sepanjang Ghaib dihidangkan. Saya suka dengan kaedah permainan mereka.

Inilah akting. Inilah pemainan watak yang segar. Mereka memanfaatkan seluruh ruang permainan dengan gerak (bloking) yang jujur. Bermain di arena akan sangat membosankan jika tidak bijaksana menggunakan segala yang ada di situ. Nada percakapan yang realistik tidak dibuat-buat. Jika panggung lebih kecil, dengan kedudukan penonton dan pelakon lebih rapat, kaedah ini akan lebih mesra dengan audien.

Itulah cabaran yang dimaksudkan, Telinga kena tajam, tumpuan kena jitu, barulah dapat menangkap maksud yang diungkapkan. Tiada nikmatnya kalau menonton teater yang klise, eksperimen memang mendambakan keberanian yang luar biasa seperti yang dilakukan oleh produksi Ghaib ini. 

Guruh di dalam dan di luar panggung bersatu 

Kolaborasi pengarah muda Fasyali dengan penulis hebat seperti Faisal Tehrani sangat berkesan. Saya masih berpendirian bahawa sesebuah teater akan bernyawa jika naskahnya bagus, arahannya betul dan pelakonnya jujur. Ketiga-tiga ciri ini jelas dalam teater Ghaib. Saya tidak peduli sangat aspek teknikal, bukan tidak wajib, tapi sinografi dan yang lainnya tidak bermakna apa-apa jika pelakon mati di atas panggung.

Guruh dalam panggung dengan guruh sebenar di luar panggung bersatu pada malam itu. Saya tidak terlalu mengharapkan muzik latar yang bagus, kerana muzik di dada setiap pelakon sangat indah dan mempersonakan. Rasional setiap watak menghadapi malapetaka dalam keluarga mereka, dimainkan dengan cerdik, tidak bodoh atau kurang ajar. Namun gelora hati mereka, gundah dan keliru terpancar pada dialog dan gerak tubuh.

Segalanya hampir sempurna, kelemahan kecil seperti sesetengah vokal yang tak dapat didengar dengan jelas bukan alasan untuk menidakkan pemberian lima bintang kepada teater ini. 

Saya teringat perdebatan saya dengan sutradara terkenal, Zefri Husin tentang teater. Ketika itu beliau baru pulang dari melawat Panggung Seni Anton Chekhov di Moscow. 

“Apa yang perlu pada sesebuah teater?” soal beliau. 

Saya menjawab hanya dengan satu perkataan: “Menarik”. 

Beliau bersetuju. 

“Itulah yang saya peroleh di Moscow,” ujar beliau.

Maka ungkapan itulah yang saya ingin berikan kepada  teater karya Faisal Tehrani dan sutradara Fasyli ini, iaitu “menarik”.


ROSLAN MADUN ialah penggiat seni sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS