Paling Popular
Terkini

Usaha untuk membantu penyanyi Zamani Ibrahim menampung kehidupan selepas menjalani pembedahan diteruskan dengan pelancaran sebuah tabung bermula malam tadi.

Pelancaran tabung yang dibuka untuk tempoh 24 jam itu diumumkan Aznil Nawawi ketika Konsert Doa Buat Zamani Unplugged yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur.

“Sebelum ini kita berjaya kutip RM122,000 untuk kos pembedahan membetulkan tulang belakang Zamani dalam tempoh kurang tiga jam.

“Saya berterima kasih dengan peminat Zamani kerana mengikut media sosial saya dan diharap dapat tularkan akaun bagi mengumpul dana untuk membantu Zamani teruskan kehidupan selepas pembedahan,” katanya.

Menurut Aznil atau Pak Nil, Zamani, 51, tidak selesa meminta wang atau belas ehsan sebaliknya dia rela bekerja demi mengumpul wang untuk membiayai kos pembedahan.

Tetapi katanya, dia tidak sanggup membiarkan perkara itu lalu mengambil keputusan untuk membantu memudahkan Zamani mengumpul dana membiayai kos pembedahan yang mencecah lebih RM80,000.

“Saya tak sangka dia masih gigih bekerja di sini pada malam terakhir sebelum dia masuk ke dewan pembedahan,” jelasnya.

Konsert anjuran Indra Entertainment itu turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Norashikin Abdul Rahman.

Seramai 2,000 penonton dihiburkan dengan 15 lagu seperti Gerimis Mengundang, Layang-Layang dan Kau Merubah Segalanya.

Selain Zamani, konsert itu turut menampilkan penyanyi seperti Rahim Maarof, Fauziah Latiff dan kumpulan dari Indonesia, Kasyara.

Pada konsert itu juga, Aznil membuka lelongan beg jenama Louis Vuitton miliknya pada harga RM15,000.

Bagaimanapun, katanya, tidak sampai 20 minit, beg itu telah dibeli oleh seorang penyanyi nasyid yang turut berada di konsert berkenaan iaitu Fitri Haris.

Untuk rekod, Fitri diundang bagi membaca doa untuk konsert tersebut.

Zamani yang mengidap masalah skoliosis dijadual menjalani pembedahan untuk mengatasi isu itu Nov ini.

Penyanyi Masih Ada Cahaya itu pada sidang media sebelum ini berkata, pembedahan merupakan jalan terakhir dan dia tidak mempunyai pilihan lain kerana tahap kesihatannya semakin merudum.

Menurutnya, bahagian tulang bermasalah sudah mencucuk jantung dan mengakibatkan sukar untuk dia tidur tanpa bergantung kepada ubat tahan sakit. https://www.malaysiakini.com/hiburan/631606 

Sementara itu, Fitri berkata, dia mengambil keputusan untuk membeli beg berkenaan memandangkan dia seorang peminat tegar Zamani.

Menurutnya, dia dan isteri, Fazillah Omar sepakat untuk membeli beg itu selepas berbincang mengenai usaha untuk membantu Zamani.

“Saya memang peminat dia. Dan kami membeli beg tu bukan kerana jenama Louis Vuitton tapi memang ingin membantu Zamani,” ujarnya.

Lihat Komen
ADS