Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kelly Azman harap tuah dari lagu dicipta untuk Siti Nurhaliza

Meskipun namanya tidak dikenali ramai, pengacara dan pempengaruh, Kelly Azman, mengakui teruja apabila komposer Mohariz Yaakup memberikan kepercayaan kepada dia membawa lagu yang sepatutnya dicipta untuk Siti Nurhaliza.

Mengakui dirinya tidak sehebat penyanyi lain, Kelly yakin peluang itu mampu membuka mata mana-mana pihak sebelum ini yang memandang rendah kredibilitinya di pentas seni tarik suara.

“Lagu ini diberikan oleh Mohariz sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dua tahun lalu. Pada asalnya, lagu itu dicipta untuk penyanyi Siti Nurhaliza.

“Dia menghubungi saya selepas menonton konsert saya secara dalam talian sewaktu PKP. Dia kata: 'Abang ada lagu untuk Kelly, sampai bila nak nyanyi lagu orang?'

“Jadi, takkan saya nak tolak komposer yang pernah buat lagu untuk arwah Nassier Wahab, arwah Adibah Nor dan Misha Omar serta Dambaan Pilu untuk Khai AF,” ujarnya.

Justeru, bagi membuktikan kredibilitinya membawa lagu yang liriknya ditulis NJ dan KR itu, Kelly berkata, dia mendapatkan khidmat Cikgu Azreen yang pernah mengajar vokal untuk penyanyi-penyanyi lain.

“Memang saya bukan penyanyi yang ada suara bertenaga, tapi alunan vokal saya ada karakter.

“Saya akui tak boleh menyanyi lagu bernada tinggi (jerit-jerit),” jelasnya ketika ditemui di sebuah hotel di Ampang baru-baru ini.

Untuk rekod, Kelly yang juga seorang daripada 50 juri All Together Now Malaysia musim pertama mula tampil dengan single sejak 2016, iaitu Kepulangan Di Hari Raya, No No No pada 2017 dan Nikmat Di Hari Raya berduet dengan Isma AF7 pada tahun ini.

Yakin kali ini dirinya lebih bertuah, pemilik nama sebenar Raja Azman Raja Ayob itu turut menaruh harapan tinggi agar single keempatnya itu mampu melangkah jauh sehingga ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Katanya, lagu sebelum ini yang dihasilkannya tidak menjadi.

“Tak salah sekiranya simpan sikit impian kerana setiap penyanyi yang keluarkan lagu pasti mahu karya mereka terpilih ke AJL, termasuklah saya.

“Lagu pertama saya buat tak menjadi, lagu raya pula memanglah tak boleh dicalon, kan? Kalau ada lagu raya boleh masuk AJL, saya yakin boleh menang.

Dustakan Cinta taruhan saya untuk ke AJL. Saya harap penerbit Muzik Muzik pertimbangkanlah karya saya. Bagi peluang untuk dicalonkan,” katanya penuh semangat.

Lihat Komen
ADS