Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puteri Sarah kemuka bukti dakwaan pernah dipukul Syamsul

Pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin mengemukakan bukti baru untuk mengukuhkan dakwaan dia pernah dipukul oleh suaminya, Syamsul Yusof pada 2020.

Kejadian itu kata Puteri Sarah, meletakkan dia dalam keadaan tidak ada pilihan kecuali keluar dari rumah mereka.

Puteri Sarah berkata demikian semasa prosiding tuntutan cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

“Sebenarnya saya bukan nak buka aib Syamsul kalau boleh tak mahu cerita langsung mengenai kejadian,” katanya kepada media di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Perbicaraan tuntutan cerai itu berlangsung di depan hakim Akmaludin Ilyas.

Bagaimanapun, Puteri Sarah, 37, berkata tiada laporan polis dibuat kerana ketika itu dia masih menyimpan perasaan cinta terhadap Syamsul.

Puteri Sarah bersama peguamnya Akberdin Abdul Kader

Menurut aktres itu, selepas kejadian tersebut ibu mentuanya, Patimah Ismail, membantu dia menyelamatkan diri dengan membawanya keluar dari rumah berkenaan.

“Semasa itu saya tak buat laporan atau ambil tindakan apa-apa sebab masih sayang.

“Ibu mentua yang keluarkan saya dari rumah dalam kejadian berlaku tiga tahun lalu,” katanya.

Tak ada persefahaman

Sementara itu, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Akberdin Abdul Kader, memberitahu media, insiden dipukul merupakan antara faktor mengapa anak guamnya keluar dari rumah.

"Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).

“Jadi, pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa sebenarnya berlaku dan selepas itu Puteri Sarah kembali ke rumah atas sebab jasa baik pihak keluarga mentua.

“Syamsul dalam dakwaanya memberi andaian dan gambaran bahawa anak guam saya yang keluar dari rumah tanpa izin. Itu tak betul sebab anak guam saya ada asas,” katanya.

Syamsul Yusof

Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintah mahkamah untuk melantik wakil jawatankuasa pendamai bagi menyelesaikan kemelut pasangan itu pada 10 April ini.

Akmaluddin memerintahkan keputusan itu selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding berkenaan, Syamsul diwakili peguam Roshdan Sujak.

Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen dikemukakan itu, antara alasan yang Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Rumah tangga pasangan itu mula dihimpit kontroversi sejak empat tahun lalu, namun Syamsul tidak memberikan sebarang komen mengenainya sehinggalah Jan ini apabila dia membuat pengakuan sudah bernikah.

Isteri baru Syamsul ialah orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga dia dengan Puteri Sarah iaitu Ira Kazar.

Lihat Komen
ADS