Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sebagai menteri Fahmi sepatutnya buat kajian lanjut - Awesome TV
Diterbitkan:  May 30, 2023 8:55 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Awesome TV membantah kenyataan dikeluarkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung dakwaan stesen televisyen itu enggan melunaskan hutang tertunggak.

Pengurusan Awesome TV berkenaan berkata, selaku menteri, Fahmi tidak seharusnya mencampuri hal komersial stesen televisyen dengan pembekalnya, selain perlu membuat kajian lanjut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Untuk pencerahan, kami ingin membuat kenyataan bahawa pihak yang bertanggungjawab untuk produksi rancangan televisyen dan juga hal-hal pembayaran kepada syarikat-syarikat produksi adalah syarikat perantaraan atau ejen yang dilantik oleh pihak stesen televisyen, dan bukannya stesen televisyen.

"Sebagai seorang menteri, Fahmi sewajarnya membuat kajian lanjut terutamanya dengan Awesome TV dan tidak melemparkan kata-kata yang memberi kesan negatif dan tidak adil kepada Awesome TV,” kata stesen televisyen itu dalam kenyataan.

Semalam Fahmi menggesa Awesome TV melunaskan tanggungjawab berhubung isu hutang tertunggak dan kes saman, jika ada, membabitkan pihak penerbit dengan kadar segera.

Fahmi berkata dia sudah mengadakan pertemuan dengan Awesome TV pada 15 Mei lalu bagi memastikan mana-mana isu berbangkit tidak berlanjutan.

Kata ahli parlimen Lembah Pantai itu, isu hutang tertunggak memberi kesan kepada penerbit drama atau program dibiayai MyCreative Ventures Sdn Bhd, iaitu agensi di bawah KKD.

“Saya difahamkan, MyCreative Ventures mengadu kepada saya ada sejumlah penerbit atau syarikat yang menerima dana daripada agensi itu dengan tujuan untuk menghasilkan filem atau bahan.

“Bahan itu sepatutnya dibeli Awesome TV. Tapi, atas sebab tertentu ada sejumlah syarikat yang belum menerima bayaran daripada Awesome TV,” katanya.

Tak berurusan dengan My Creative

Bagaimanapun Awesome TV berkata stesen itu tidak langsung berurusan dengan My Creative.

"Maka, tidak wajar bagi menteri atau pihak My Creative membuat apa-apa kenyataan mengenai stesen televisyen.

"Selaku stesen televisyen yang berpegang teguh kepada prinsip integriti, Awesome TV telah menjalankan operasi syarikat dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memburukkan imej Awesome TV dengan tidak adil," katanya.

Stesen televisyen itu turut berharap pihak media dan masyarakat memahami sepenuhnya konteks sebenar dan tidak membuat penilaian yang boleh mengakibatkan fitnah.

"Kami tetap berkomitmen untuk memberikan kandungan berkualiti tinggi dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada industri penyiaran," ujarnya.

Lihat Komen
ADS