mk-logo
Seni & Hiburan

Pengarah filem La Luna, M Raihan Halim menyifatkan bahawa filem terbaharu arahannya mempunyai kelainan dari segi nada berbanding filem Vik2ria Secret.

Dia berkata mesej La Luna berbeza apabila menimbulkan isu seorang ketua yang menggunakan agama sebagai senjata untuk memecahbelahkan keharmonian penduduk kampungnya.

“Dari sisi treler memang ada persamaan namun dari sisi tone, ia berbeza dan amat menonjol.

"Ini adalah situasi yang unik,” kata Raihan ketika ditemui semasa majlis tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur, semalam.

Raihan menjawab soalan bahawa filem arahannya itu seakan-akan sama dengan Vik2ria Secret.

Kedua-dua filem komedi ini berkisarkan pembukaan kedai pakaian dalam wanita di kawasan perkampungan namun jalan ceritanya berbeza.

Menurut pengarah kelahiran Singapura itu, sesebuah filem merupakan jalan untuk membuka perbualan dan topik-topik yang manusia tidak boleh teroka di dalam televisyen.

“Sebab itulah saya tonjolkan topik ini kepada dunia. Bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, tapi kepada dunia untuk melihatnya.

"Itu yang paling penting untuk saya memulakan perbualan itu,” jelas Raihan yang juga pengarah filem gusti gadis bertudung, 'Banting'.

La Luna menampilkan barisan pelakon antaranya Sharifah Amani, Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Namron, Nadiya Nisaa dan Iedil Dzuhrie.

Walaupun dia tahu bahawa jalan cerita filem La Luna agak sedikit nakal namun kata Raihan ia bergantung kepada niat masing-masing.

La Luna mengisahkan cabaran seorang wanita (lakonan Sharifah Amani) yang membuka kedai pakaian dalam diberi nama La Luna di sebuah desa bernama Kampong Bras Basah.

Usahawan La Luna kemudian bertemu dengan seorang pegawai polis berstatus duda (Shaheizy Sam) yang mempunyai seorang anak remaja.

Walaupun mendapat sambutan ramai, namun kedai La Luna mendapat tentangan ketua kampung itu (lakonan Wan Hanafi Su).

“Saya tak nak buat cerita kurang ajar, itu yang paling penting untuk saya. Saya tak berminat untuk memasukkan elemen lawak-lawak kotor,” tegas Raihan.

Sebelum ini, filem Vik2ria Secret yang ditayangkan pada Jun lalu hasil garapan pelawak veteran AR Badul dikritik membawakan elemen seksual dan dituduh merendahkan martabat wanita.

Pun begitu, Badul dilaporkan mempertahankan filem arahannya itu berlandaskan undang-undang dan menyifatkan Vik2ria Secret di luar kotak kerana belum ada karya yang menceritakan tentang kedai pakaian dalam wanita.

Sementara itu, Raihan berkata La Luna mengutamakan penggambaran kisah percintaan dahulu, barulah perkara-perkara lain menyusul.

Raihan berkata dia ingin menyeimbangkan antara mesej penting dan elemen kenakalan itu.

“Babak-babak cheeky ini cuma ada lima babak. Tidak lebih dari 10 minit dari tayangan filem penuh. Ia tidak banyak,” kata Raihan.

Filem La Luna menceritakan tentang perubahan hidup dan perkembangan zaman yang berlaku dalam kalangan masyarakat sesebuah kampung.

Ia akan mula ditayangkan pada 9 Nov ini di pawagam seluruh negara.

Lihat Komen
ADS